Rabu, 16 March 2022 | 11:01am
Antara pengundi automatik yang membuang undi pada PRN Johor, Sabtu lalu. - NSTP/HAIRUL ANUAR RAHIM
Antara pengundi automatik yang membuang undi pada PRN Johor, Sabtu lalu. - NSTP/HAIRUL ANUAR RAHIM

'Mungkin pengundi automatik tak ingin mengundi'

KUALA LUMPUR: Pengundi yang didaftarkan secara automatik tiada keinginan menunaikan tanggungjawab itu, berkemungkinan menjadi antara faktor jumlah peratusan keluar mengundi yang rendah pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor, Sabtu lalu.

Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Parlimen dan Undang-Undang), Datuk Mas Ermieyati Samsudin, berkata Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) bagaimanapun akan menjalankan bedah siasat terperinci bagi mengetahui punca sebenar peratusan rendah itu.

"Berhubung antara punca ia sangat rendah, saya melihat mungkin pihak parti politik boleh membuat 'post mortem' tetapi di pihak SPR, saya belum ada maklumat secara terperinci.

"Bagaimanapun, mungkin juga disebabkan orang malas hendak keluar dan pengundi automatik yang sebelum ini tidak pernah ada keinginan untuk mengundi, tiba-tiba dimasukkan sebagai pengundi... mereka tidak keluar mengundi kerana sebelum ini mereka tidak berhasrat untuk mengundi pun," katanya pada sesi soal jawab lisan di Dewan Rakyat, hari ini.

Beliau menjawab soalan tambahan Syed Ibrahim Syed Noh (PH-Ledang) yang meminta kerajaan menyatakan punca jumlah peratusan keluar mengundi yang rendah pada PRN Johor Ke-15.

Menjawab soalan asal Datuk Rozman Isli (WARISAN-Labuan) yang meminta SPR mempertimbang untuk membenarkan pengundian pos bagi mereka yang tinggal jauh dari pusat pengundian berdaftar, terutama pengundi Sabah, Sarawak dan Labuan pula, Mas Ermieyati berkata, SPR buat masa ini tidak bercadang berbuat sedemikian.

"Perkara 119 Perlembagaan Persekutuan menetapkan salah satu kelayakan untuk didaftarkan sebagai pemilih ialah bermastautin di mana-mana bahagian pilihan raya.

"Bagi maksud itu, SPR menentukan bahagian pilihan raya seseorang pemilih itu berdasarkan alamat pemastautin pemilih sebagaimana tercatat dalam kad pengenalan dan pangkalan data Jabatan Pendaftaran Negara (JPN)," katanya.

PRN Johor baru-baru ini mencatat jumlah peratusan keluar mengundi rendah, iaitu 54.92 peratus berbanding 70 peratus yang disasarkan SPR.

Malah, peratusan itu lebih rendah berbanding pada PRN Sarawak (60.67 peratus) dan PRN Melaka (65.85 peratus), tahun lalu, walaupun PRN Johor berkenaan menyaksikan pertambahan bilangan pengundi baharu susulan pelaksanaan Undi18.

Berita Harian X