Rabu, 16 March 2022 | 8:34am
Dewan Rakyat, Parlimen.
Dewan Rakyat, Parlimen.

Isu undi pos PRU-15, EV tumpuan Dewan Rakyat hari ini

KUALA LUMPUR: Isu berkaitan undi pos bagi penduduk tinggal jauh dari pusat pengundian berdaftar khusus bagi rakyat Sabah, Sarawak dan Labuan pada Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU-15) serta perancangan kerajaan dalam membangunkan industri kenderaan elektrik (EV) tempatan antara perkara akan dibangkitkan pada persidangan Dewan Rakyat, hari ini.

Menurut Aturan Urusan Mesyuarat dalam laman sesawang Parlimen, soalan berkaitan undi pos itu diajukan Datuk Rozman Isli (Warisan-Labuan) pada sesi soal jawab yang mahu Perdana Menteri menjelaskan sama ada Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) sedang mempertimbang untuk membenarkan pengundian pos dalam merangka prosedur operasi standard (SOP) COVID-19 yang lebih berkesan pada PRU15.

Sementara itu, Abdul Latiff Abdul Rahman (PAS-Kuala Krai) akan mengajukan soalan kepada Menteri Kanan Perdagangan Antarabangsa dan Industri berhubung perancangan kementerian dalam usaha untuk membangunkan industri EV tempatan memandangkan industri itu semakin berkembang dan diterima di seluruh pasaran dunia.

Turut tersenarai, soalan Datuk Seri Hasan Arifin (BN-Rompin) yang turut meminta Perdana Menteri menyatakan apakah keperluan mendesak mengenai cadangan mewujudkan Majlis Pengurusan Bencana Negara (NADMA) 2.0 yang akan membabitkan tambahan perbelanjaan, berbanding menambah baik fungsi kecekapan dan keberkesanan NADMA yang sedia ada.

Selain itu, pertanyaan mengenai pendirian kerajaan dalam mewujudkan hubungan dengan kerajaan Afghanistan yang ditadbir pihak Taliban serta bentuk hubungan itu termasuk bantuan yang ingin diberi akan dibangkitkan Ahmad Fahmi Mohamed Fadzil (PH-Lembah Pantai) kepada Menteri Luar.

Datuk Mahfuz Omar (PH-Pokok Sena) pula bertanyakan Perdana Menteri mengenai perancangan kerajaan dalam mencapai sasaran negara berpendapatan tinggi pada 2025 dengan pendapatan isi rumah mencapai RM10,000 sebulan seperti yang terkandung dalam Rancangan Malaysia Ke-12 (RMK12).

Selesai sesi itu, persidangan akan bersambung dengan sesi menggulung perbahasan Usul Menjunjung Kasih Titah Diraja membabitkan lapan lagi kementerian didahului dengan Kementerian Kesihatan.

Dewan Rakyat bersidang hingga 24 Mac ini. – BERNAMA

Berita Harian X