Selasa, 15 March 2022 | 7:48pm
Shahidan pada sidang Dewan Rakyat, hari ini. - FOTO BERNAMA
Shahidan pada sidang Dewan Rakyat, hari ini. - FOTO BERNAMA

DBKL akan bina 5,000 unit Residensi Majlis

KUALA LUMPUR: Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) akan membina 5,000 unit kediaman Residensi Majlis bagi membantu warga kota dalam kalangan berpendapatan rendah untuk menyewa rumah.

Menteri Wilayah Persekutuan, Datuk Seri Dr Shahidan Kassim, berkata pembinaan Residensi Majlis itu adalah untuk menampung keperluan unit Projek Perumahan Rakyat (PPR) yang terhad.

"Setakat ini, sebanyak lima tapak sudah dikenal pasti untuk pembinaan kediaman terbabit. Antaranya, Sungai Udang membabitkan 897 unit dan projek ini dijangka siap sepenuhnya pada April 2022.

"Kita juga merancang untuk membina kediaman ini di Jalan Selimang, Cheras, membabitkan 702 unit; Desa Tasik (1,000); Bandar Baru Sentul (168); dan Jalan Tasik Permaisuri (204)," katanya ketika menggulung perbahasan Titah Ucapan Yang di-Pertuan Agong bagi kementeriannya di Dewan Rakyat, hari ini.

Mengulas lanjut, Shahidan berkata, pembinaan Residensi Majlis itu bertujuan membantu golongan B40 sebagai inisiatif transit sebelum mereka mampu memiliki kediaman sendiri.

Dalam pada itu, beliau berkata, DBKL sentiasa melaksanakan bancian dan meminta penyewa PPR mengemas kini maklumat pendapatan dari semasa ke semasa bagi memastikan mereka layak menyewa unit kediaman berkenaan.

"Bagi tindakan pemutihan pula, DBKL sering menjalankan tindakan dengan mengeluarkan notis kepada penyewa yang didapati melakukan pelanggaran syarat seperti tidak menetap, kesalahan jenayah atau dadah, menyewakan unit kepada pihak ketiga termasuk warga asing, dan penyewa berkahwin dengan warga asing," katanya.

Berita Harian X