Selasa, 15 March 2022 | 6:43pm
Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Datuk Ahmad Marzuk Shaary menunjukkan buku Gerbang Perkahwinan Edisi Ketiga yang dilancarkannya sempena Persidangan Ketua Pendaftar Nikah, Cerai dan Rujuk (KPNCR) Seluruh Malaysia Kali Ke-44 di Langkawi. - Foto HAMZAH OSMAN
Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Datuk Ahmad Marzuk Shaary menunjukkan buku Gerbang Perkahwinan Edisi Ketiga yang dilancarkannya sempena Persidangan Ketua Pendaftar Nikah, Cerai dan Rujuk (KPNCR) Seluruh Malaysia Kali Ke-44 di Langkawi. - Foto HAMZAH OSMAN

Lelaki qawwam bakal masuk silibus pra perkahwinan

LANGKAWI: Inisiatif lelaki qawwam iaitu melindungi keluarga daripada bahaya di dunia dan akhirat serta tidak mengabaikan keluarga menjadi aspek terbaharu yang bakal dimasukkan dalam silibus kursus pra-perkahwinan di seluruh negara dalam tempoh terdekat.

Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Datuk Ahmad Marzuk Shaary, berkata aspek itu penting bagi mengelak berlakunya perkahwinan jangka pendek dan perceraian.

"Sangat perlu silibus (kursus pra-perkahwinan) menitikberatkan inisiatif lelaki qawwam yang mampu melindungi keselamatan dan maruah ahli keluarga yang berada di bawah tanggungannya.

"Ia (lelaki qawwam) sudah dibincangkan panjang lebar, malah garis panduan mengenainya sudah ada," katanya selepas merasmikan Persidangan Ketua Pendaftar Nikah, Cerai dan Rujuk (KPNCR) Seluruh Malaysia Kali Ke-44 di HiG Hotel di sini, hari ini.

Turut hadir, Timbalan Ketua Pengarah (Operasi) Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM), Datuk Dr Sirajuddin Suhaimee dan Pengarah Bahagian Keluarga, Sosial dan Komuniti JAKIM, Mohd Norizan Abd Ghani.

Ahmad Marzuk berkata, silibus kursus pra-perkahwinan yang dibangunkan JAKIM memang bersifat fleksibel yang membenarkan penganjur memasukan elemen baharu tanpa bercanggah dengan kehendak ajaran agama.

Mengulas KPNCR Ke-44, beliau berkata, persidangan itu yang menghimpunkan peserta dari seluruh negara membincangkan perkara rutin berkaitan nikah, cerai dan rujuk.

"Kita juga membincangkan penambahbaikan prosedur operasi standard (SOP) selepas kerajaan mengumumkan Malaysia memasuki fasa peralihan ke endemik COVID-19, mulai 1 April ini," katanya.

Pada majlis sama, Ahmad Marzuk turut melancarkan buku Gerbang Perkahwinan Edisi Ketiga terbitan JAKIM yang menjadi panduan dan rujukan utama kepada pasangan yang ingin mendirikan rumahtangga.

Berita Harian X