Selasa, 15 March 2022 | 2:58pm
Datuk Seri Hasni Mohammad. NSTP/MOHAMAD SHAHRIL BADRI SAALI
Datuk Seri Hasni Mohammad. NSTP/MOHAMAD SHAHRIL BADRI SAALI

39 akuan bersumpah sokong Hasni jadi MB Johor

JOHOR BAHRU: Seramai 39 bakal Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Barisan Nasional (BN) sudah menandatangani akuan bersumpah (SD) menyokong Datuk Seri Hasni Mohammad sebagai Menteri Besar Johor ke-19.

Sumber Barisan Nasional (BN) memaklumkan, Hasni yang juga Pengerusi BN Johor dan Pengerusi UMNO Johor sudah menyembahkan SD berkenaan pada Sultan Ibrahim Iskandar, tengah malam Sabtu lalu.

"Seramai 39 daripada 40 bakal ADUN BN yang memenangi kerusi pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor menandatangani SD itu. Hanya seorang sahaja tidak menandatangani SD itu membabitkan calon ADUN yang bertanding bagi penggal kedua di kawasan Johor tengah.

"Hasni pun sudah menghadap Sultan Johor selepas majlis pengumuman kemenangan BN tengah malam minggu lalu bagi menyembah maklum kejayaan parti meraih 40 kerusi sekali gus menyembahkan SD itu. Sudah tentu polemik pelantikan Menteri Besar ke-19 ini sangat mengejutkan Hasni kerana beliau mendapat sokongan hampir sebulat suara.

"Hanya satu tidak menyokong," katanya ketika dihubungi.

Pada PRN Sabtu lalu, Hasni menang dengan majoriti selesa lebih 5,000 undi mempertahankan kerusi DUN Benut mengatasi tiga pencabarnya, sekali gus menyumbang kepada 40 kerusi DUN diperoleh BN daripada keseluruhan 56 kerusi.

Ahad lalu, beliau dilapor akan dicadangkan sebagai calon tunggal Menteri Besar untuk mendapat perkenan Sultan Johor.

Pengerusi BN, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi, dilaporkan berkata nama Pengerusi Badan Perhubungan UMNO Johor itu akan dikemukakan kepada baginda untuk pertimbangan selanjutnya.

Ahmad Zahid tidak menyebut sebarang nama lain, berkata pencalonan tunggal sedemikian bertujuan memberi ruang kepada kestabilan pentadbiran kerajaan negeri dan jaminan terhadap pelbagai usaha pembangunan yang ingin dirintis.

Hasni menang dengan majoriti selesa lebih 5,000 undi mengatasi tiga pencabarnya di Dewan Undangan Negeri (DUN) Benut dalam Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor berakhir Sabtu lalu. Pada 28 Februari 2020, Hasni sah menjadi Menteri Besar Johor yang ke-18 selepas mengangkat sumpah di hadapan Sultan Ibrahim.

Beliau menggantikan Datuk Dr Sahruddin Jamal dari Parti Pribumi Bersatu Malaysia (BERSATU), yang dilantik sebagai Menteri Besar ke-17 pada 14 April, 2019.

Bagaimanapun, ada dua nama disebut-sebut bakal dilantik menjadi Menteri Besar Johor, iaitu Datuk Onn Hafiz Ghazi, bekas EXCO Belia dan Sukan Johor yang juga pemenang kerusi DUN Machap dan Ahli Majlis Kerja Tertinggi UMNO, Datuk Mohd Puad Zarkashi, yang menang DUN Rengit.

Berita Harian X