Selasa, 15 March 2022 | 1:12pm

9 pegawai, anggota agensi penguatkuasa dalang edar dadah ditahan

KUALA LUMPUR: Polis Diraja Malaysia (PDRM) menahan sembilan pengawai dan anggota sebuah agensi penguatkuasa disyaki terbabit sindiket pengedaran dadah dalam serbuan berasingan di Johor Bahru dan Putrajaya, pada 6 hingga 8 Mac lalu.

Turut ditahan, seorang nelayan warga tempatan berusia 29 tahun yang dipercayai bersekongkol dengan sindiket terbabit.

Kesemua sembilan penjawat awam yang ditahan itu terdiri daripada pegawai kanan dan anggota lain-lain pangkat berusia antara 33 hingga 49 tahun.

Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik (JSJN) Bukit Aman, Datuk Ayob Khan Mydin Pitchay, berkata sembilan penjawat awam yang ditahan bertugas di sebuah agensi penguatkuasa di Putrajaya.

"Modus operandi sindiket ini dengan menjual semula 50 kilogram (kg) dadah disyaki syabu yang dirampas dalam satu operasi di perairan Selat Melaka kepada pengedar dadah di utara Semenanjung Malaysia.

"Dadah yang dirampas oleh sindiket ini adalah dadah yang cuba diseludup oleh satu sindiket yang bergerak aktif di Banting, Selangor untuk pasaran di Dumai, Indonesia," katanya pada sidang media di Bukit Aman di sini, hari ini.

Beliau berkata, sindiket ini dipercayai mula aktif dalam aktiviti ini sejak Februari lalu dan dipercayai mengagihkan keuntungan penjualan dadah itu secara sama rata antara mereka.

"Dalam operasi itu, kita turut merampas baki 5.3kg dadah jenis syabu dianggarkan bernilai RM193,590 yang boleh digunakan oleh 26.8 juta penagih dadah.

"Kita turut merampas pelbagai aset sindiket ini termasuk empat kenderaan iaitu masing-masing sebuah Honda CRV, Honda HRV, Toyota Vios dan PERODUA Aruz serta satu akaun bank bernilai RM5,325.78 dengan nilai keseluruhan sitaan RM195,235.78," katanya yang memaklumkan jumlah keseluruhan nilai dadah dan sitaan harta RM388,825.78.

Sitaan harta dilakukan mengikut Akta Dadah Berbahaya (Pelucuthakan Harta) 1988.

Ayob Khan berkata, semakan mendapati kesemua suspek tiada rekod jenayah lampau dan ujian saringan air kencing dijalankan mendapati empat suspek pejawat awam positif dadah jenis methamphetamine.

"Kesemua suspek kini direman selama 14 hari mulai 7 Mac lalu hingga 20 Mac ini dan kes disiasat mengikut Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya 1952.

"PDRM khususnya JSJN tidak akan berkompromi dengan mana-mana penjawat awam yang terbabit dalam aktiviti pengedaran dadah," katanya.

Beliau berkata, masyarakat diminta terus menyalurkan maklumat berkaitan aktiviti pengedaran dadah yang berlaku di sekeliling mereka dan maklumat boleh disalurkan melalui Hotline JSJN di talian 012-2087222.

Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik (JSJN) Bukit Aman kepada Datuk Ayob Khan Mydin Pitchay pada sidang media Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik di Bukit Aman. - Foto NSTP/Aswadi Alias
Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik (JSJN) Bukit Aman kepada Datuk Ayob Khan Mydin Pitchay pada sidang media Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik di Bukit Aman. - Foto NSTP/Aswadi Alias
Berita Harian X