Isnin, 14 March 2022 | 4:32pm

'Saya terima segalanya' - Hasni

JOHOR BAHRU: Pengerusi Barisan Nasional (BN) Johor, Datuk Seri Hasni Mohammad, akan menerima apa juga keputusan hasil pertemuan Pengerusi BN, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi, yang menghadap Sultan Johor, Sultan Ibrahim Sultan Iskandar berhubung pelantikan Menteri Besar, petang ini.

Ia susulan perkhabaran yang menyebut timbul beberapa nama lain dicalonkan bagi jawatan Menteri Besar Johor ke-19.

Nama lain yang disebut-sebut ialah bekas EXCO Belia dan Sukan Johor yang memenangi kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Machap, Datuk Onn Hafiz Ghazi, dan Ahli Majlis Tertinggi UMNO, Datuk Mohd Puad Zarkashi, yang memenangi kerusi DUN Rengit.

Ditanya sama ada beliau akan ke istana bagi mengangkat sumpah jawatan sebagai Menteri Besar esok, Hasni yang juga Pengerusi UMNO Johor, mengakui tidak pasti mengenainya.

"Saya pun tidak tahu. Terpulang kepada keputusan petang ini (pertemuan Sultan Johor dan Ahmad Zahid)

"Saya tak pergi (menghadap Sultan Johor) Presiden (Ahmad Zahid) sahaja yang pergi.

"Ini proses biasa selepas SPR dah beri makluman rasmi kepada Sultan Johor, presiden parti akan menghadap," katanya ketika ditemui di Pejabat Perhubungan UMNO Johor, di sini, hari ini.

Turut berada di Pejabat Perhubungan UMNO Johor adalah Timbalan Pengerusi BN, Datuk Seri Mohamad Hasan.

Terdahulu, Sultan Johor, Sultan Ibrahim Iskandar, dikatakan menitahkan Ahmad Zahid menghadap baginda.

Difahamkan, ia susulan kemenangan BN dalam PRN kelmarin bagi membolehkan Menteri Besar Johor ke-19 dilantik sekali gus mengangkat sumpah.

Ahmad Zahid dilihat tiba di Pejabat Perhubungan UMNO Johor di Jalan Yahya Awal pada jam 2.30 petang tadi, sebelum meninggalkan lokasi sama jam 2.50 petang tadi.

Kelmarin, Hasni dilapor akan dicadangkan sebagai calon tunggal Menteri Besar untuk mendapat perkenan Sultan.

Ahmad Zahid dilapor menegaskan, pencalonan tunggal sedemikian bertujuan memberi ruang kepada kestabilan pentadbiran kerajaan negeri dan jaminan terhadap pelbagai usaha pembangunan yang ingin dirintis.

Sementara itu, ditanya sama ada khabar angin berhubung nama lain bakal dilantik menjadi calon Menteri Besar Johor ke-19, Hasni enggan mengulas panjang.

"Macam (Presiden AMANAH) Mohamad Sabu katalah, makan angin sahajalah," katanya.

Pengerusi BN, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi (kanan) meninggalkan Pejabat Perhubungan UMNO Johor kira-kira jam 2.50 petang tadi selepas bermesyuarat bersama badan perhubungan UMNO Johor berkaitan pelantikan Menteri Besar Johor. - Foto BERNAMA
Pengerusi BN, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi (kanan) meninggalkan Pejabat Perhubungan UMNO Johor kira-kira jam 2.50 petang tadi selepas bermesyuarat bersama badan perhubungan UMNO Johor berkaitan pelantikan Menteri Besar Johor. - Foto BERNAMA
Berita Harian X