Isnin, 14 March 2022 | 4:23pm
Datuk Seri Dr Zambry Abd Kadir (dua kiri) pada Program Ceria Kembali ke Sekolah #MyAirportCARES di Dewan Merdeka Seri Manjung, hari ini.
Datuk Seri Dr Zambry Abd Kadir (dua kiri) pada Program Ceria Kembali ke Sekolah #MyAirportCARES di Dewan Merdeka Seri Manjung, hari ini.

MAHB bincang permudah urusan jemaah umrah di lapangan terbang

LUMUT: Malaysia Airports Holdings Bhd (MAHB) akan berbincang dengan Kementerian Kesihatan (KKM) dan Majlis Keselamatan Negara (MKN) bagi mempemudahkan urusan jemaah umrah di lapangan terbang negara.

Pengerusinya, Datuk Seri Dr Zambry Abd Kadir, berkata ada aduan diterima daripada mereka yang pulang mengerjakan ibadah umrah yang mendakwa terpaksa menunggu lama untuk menjalani prosedur saringan kesihatan yang ditetapkan.

"Kita juga sudah mengemukakan perkara sama berkaitan masalah teknikal yang melambatkan proses (perlu dilalui jemaah umrah) dan saya yakin kerajaan ambil maklum pandangan MAHB dalam usaha kita memastikan setiap urusan dipermudahkan.

"Saya juga sudah beberapa kali sebelum ini melawat untuk melihat keadaan itu (jemaah pulang di lapangan terbang)," katanya pada Program Ceria Kembali ke Sekolah #MyAirportCARES di Dewan Merdeka Seri Manjung di sini, hari ini.

Pada majlis itu, seramai 1,500 pelajar sekolah rendah dan menengah dari daerah Manjung menerima pek ceria kembali ke sekolah menerusi Program Tanggungjawab Korporat (CR) Malaysia Airports, #MYAirportCARES. Sumbangan keseluruhan bernilai RM225,000 itu berupa kelengkapan sekolah seperti pakaian seragam, beg, kasut dan alat tulis serta pelitup muka.

Zambry berkata, segala prosedur di lapangan terbang perlu diperkemaskan segera bagi mengelakkan impak lebih besar menjelang pembukaan semula sempadan negara 1 April ini.

"MAHB sedang berurusan dengan KKM, MKN dan Agensi Pengurusan Bencana Negara (NADMA) untuk protokol kesihatan terkini yang perlu dilaksanakan. Di lapangan terbang, tugas kami bergantung kepada keputusan dibuat kerajaan dalam menyediakan fasiliti memudah cara proses kerana kerajaan ada protokol kesihatannya sendiri," katanya.

Mengenai program bantuan itu, Zambry yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Pangkor, berkata inisiatif itu bertujuan memberi sokongan kepada pelajar supaya lebih bersemangat untuk menghadapi sesi persekolahan yang akan bermula tidak lama lagi, terutama bagi mereka yang terkesan dari segi kehidupan harian akibat pandemik COVID-19.

"Dengan peralihan negara ke fasa endemik, pelajar dapat kembali ke sekolah secara fizikal selepas mengharungi cabaran pembelajaran di rumah hampir dua tahun," katanya.

Berita Harian X