Isnin, 14 March 2022 | 1:37pm
‘Budak Kangkung’, Muhammad Afiq Aryan Rosman lega kerana sempat mengagihkan kangkung kepada jiran sebelum disahkan positif COVID-19. - Foto NSTP/ROSMAN SHAMSUDIN
‘Budak Kangkung’, Muhammad Afiq Aryan Rosman lega kerana sempat mengagihkan kangkung kepada jiran sebelum disahkan positif COVID-19. - Foto NSTP/ROSMAN SHAMSUDIN

'Budak Kangkung' positif COVID-19

SLIM RIVER: 'Budak Kangkung', Muhammad Afiq Aryan Rosman, tujuh, disahkan positif COVID-19, Jumaat lalu bersama ibu dan adiknya.

Beliau yang mengalami gejala ringan bagaimanapun lega kerana dapat mengagihkan sayur kangkung kepada jiran, empat hari sebelum dijangkiti.

Beliau kini menjalani kuarantin di rumah bersama ibu, Intan Efazila Md Yusop ,43 dan adiknya, Aileen Nathania, yang berusia lima tahun.

Muhammad Afiq Aryan berkata, hasil tanaman yang diagihkan kepada jiran itu, ditanam sebelum cuti sekolah bermula baru-baru ini.

"Kira-kira 25 kilogram (kg) kangkung sahaja yang dapat diagihkan kepada jiran kerana sebahagian tanaman lagi rosak diserang penyakit.

"Saya lega dapat beri jiran kangkung ini, kalau tidak pasti rosak dan terbiar," katanya.

Muhammad Afiq Aryan berkata, beliau, ibu dan adik disahkan positif COVID-19 selepas menjalani ujian di klinik berikutan demam.

"Saya lega tidak mengalami kesan yang teruk seperti sesak nafas, batuk atau sakit tekak, mungkin kerana saya sudah mengambil suntikan vaksin.

"Sehari sahaja saya demam, lepas itu saya sudah boleh berkebun semula. Masa kuarantin saya habiskan dengan berkebun di belakang rumah untuk mengeluarkan peluh dan menyihatkan tubuh badan," katanya.

Beliau menyeru rakan dan kanak-kanak lain yang belum mengambil suntikan vaksin supaya segera mendapatkan pelalian itu sebelum sesi persekolahan bermula.

Murid prasekolah di Sekolah Kebangsaan (SK) Sri Keledang ini menjadi tular berikutan kegigihannya mengusahakan tanaman kangkung dan mengagihkannya kepada jiran sehingga mendapat jolokan 'Budak Kangkung'.

Berita Harian X