Isnin, 14 March 2022 | 12:24pm

71 kanak-kanak antara 117 PATI warga Filipina ditahan

KOTA KINABALU: Seramai 71 kanak-kanak warga Filipina antara 117 pendatang asing tanpa izin (PATI) yang ditahan dalam operasi di penempatan setinggan berhampiran pinggir Sungai Likas, di sini, awal pagi tadi.

Operasi yang bermula kira-kira jam 12 tengah malam diketuai Ketua Pengarah Imigresen, Datuk Seri Khairul Dzaimee Daud bersama 69 pegawai dan anggota Jabatan Imigresen Malaysia.

Menerusi operasi itu, seramai 124 individu diperiksa yang mana 117 ditahan terdiri daripada 12 lelaki dewasa, 24 wanita dewasa dan 71 kanak-kanak lelaki dan perempuan.

"71 kanak-kanak ini adalah satu jumlah yang agak ramai dan mereka berusia antara dua hingga ke 10 tahun dan hasil semakan pegawai Imigresen tadi didapati mereka ini tidak mendapat pendidikan dan tidak bersekolah.

"Daripada operasi ini didapati sumber elektrik dicuri melalui sistem kabel yang amat berbahaya dan kita boleh lihat yang kabel dibuat secara 'makeshift' di bawah dan di atas," katanya.

Ketua Pengarah Imigresen, Datuk Seri Khairul Dzaimee Daud melihat saluran paip haram yang dicuri penduduk semasa operasi di sebuah penempatan setinggan di Likas, awal pagi tadi. - Foto NSTP/Mohd Adam Arinin
Ketua Pengarah Imigresen, Datuk Seri Khairul Dzaimee Daud melihat saluran paip haram yang dicuri penduduk semasa operasi di sebuah penempatan setinggan di Likas, awal pagi tadi. - Foto NSTP/Mohd Adam Arinin

Selain itu, bekalan air juga dicuri dan Jabatan Imigresen akan memaklumkan perkara ini kepada pihak berkuasa utiliti.

"Pihak berkuasa tempatan juga akan dimaklumkan mengenai keadaan penempatan ini yang amat berbahaya dari segi kesihatan awam termasuk tidak ada sistem perparitan dan sanitasi yang sempurna," katanya.

Semua individu yang ditahan akan disiasat mengikut Seksyen 15(1)(c) kerana tinggal melebihi tempoh dan Seksyen 6 (1) (c) Akta Imigresen 1959/63 kerana tidak mempunyai sebarang dokumen.

"Buat masa ini mereka akan dibawa ke lokap Imigresen di Ibu Pejabat Imigresen Kota Kinabalu ini untuk proses saringan dokumentasi dan sekiranya mereka boleh mengemukakan bukti dokumen, mereka akan dibebaskan manakala bagi yang tiada dokumen akan ditahan ke depoh untuk proses pengusiran ke negara asal.

"Imigresen juga akan merujuk mereka kepada Kementerian Kesihatan supaya mereka yang belum menerima vaksin akan diberikan suntikan," katanya.

Sebahagian individu yang tidak mempunyai dokumen pengenalan diri ditahan untuk proses dokumentasi ketika operasi di sebuah penempatan setinggan di Likas, awal pagi tadi. - Foto NSTP/Mohd Adam Arinin
Sebahagian individu yang tidak mempunyai dokumen pengenalan diri ditahan untuk proses dokumentasi ketika operasi di sebuah penempatan setinggan di Likas, awal pagi tadi. - Foto NSTP/Mohd Adam Arinin
Berita Harian X