Ahad, 13 March 2022 | 5:22pm
BN menyatakan Datuk Seri Hasni Mohammad, dinamakan sebagai calon tunggal untuk dilantik sebagai Menteri Besar Johor.
BN menyatakan Datuk Seri Hasni Mohammad, dinamakan sebagai calon tunggal untuk dilantik sebagai Menteri Besar Johor.

Hasni dijangka angkat sumpah MB Johor paling lewat Selasa

JOHOR BAHRU: Pengerusi Barisan Nasional (BN) Johor, Datuk Seri Hasni Mohammad dijangka mengangkat sumpah sebagai Menteri Besar Johor ke-19 selewat-lewatnya, Selasa ini.

Sumber UMNO berkata, Hasni yang juga Pengerusi UMNO Johor sudah menghadap Sultan Johor, Sultan Ibrahim Iskandar, tengah malam tadi.

Beliau dikatakan menghadap Sultan Johor selepas majlis pengumuman kemenangan BN tengah malam tadi, bagi tujuan menyembah maklum kejayaan parti meraih 40 kerusi.

Turut dipersembahkan surat akuan bertandatangan semua 40 bakal Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) daripada BN yang sebulat suara menyokong beliau dilantik sebagai MB Johor yang baharu.

"Majlis angkat sumpah dijangka diadakan selewat-lewatnya Selasa ini atau seawalnya esok. Ini kerana Rabu ini, Hasni dan kebanyakan pemimpin UMNO negeri akan ke Kuala Lumpur bagi menghadiri Perhimpunan Agung UMNO (PAU) yang bermula 16 hingga 19 Mac ini," katanya ketika dihubungi hari ini.

Semalam, Pengerusi BN, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi, dilapor berkata nama Hasni akan dicadangkan sebagai calon tunggal Menteri Besar untuk mendapat perkenan Sultan Ibrahim Iskandar.

Ahmad Zahid berkata, tindakan itu bagi memberi ruang kepada kestabilan pentadbiran kerajaan negeri dan jaminan terhadap pelbagai usaha pembangunan yang ingin dirintis.

Dalam PRN Johor semalam, Hasni menang dengan majoriti selesa lebih 5,000 undi, mengatasi tiga pencabarnya di Dewan Undangan Negeri (DUN) Benut. Secara keseluruhan, BN menang 40 daripada 56 kerusi DUN.

Pada 28 Februari 2020, Hasni sah menjadi Menteri Besar Johor ke-18 selepas mengangkat sumpah di hadapan Sultan Ibrahim, menggantikan Datuk Dr Sahruddin Jamal daripada BERSATU.

Berita Harian X