Ahad, 13 March 2022 | 4:12pm
UTM terus komited melahirkan graduan cemerlang untuk menyokong pembangunan negara. - Foto ihsan photos.utm.my
UTM terus komited melahirkan graduan cemerlang untuk menyokong pembangunan negara. - Foto ihsan photos.utm.my

UTM institusi pendidikan, penyelidikan unggul

JOHOR BAHRU: Universiti Teknologi Malaysia (UTM) yang menyambut 50 tahun penubuhannya esok terus unggul sebagai institusi pengajian tinggi yang telah berjaya mengeluarkan ribuan teknokrat industri kejuruteraan dan teknikal bagi menyokong pemacuan Revolusi Perindustrian Ke-4 negara.

UTM mula bertapak seawal tahun 1904, dari Sekolah Teknik Treacher yang kemudiannya dinaik taraf kepada Maktab Teknik pada 1946.

Institusi ini seterusnya dinaik taraf kepada Institut Teknologi Kebangsaan (ITK) berstatus Universiti pada 1972 dan seterusnya mencipta sejarah apabila diisytiharkan dengan nama baharu Universiti Teknologi Malaysia (UTM) oleh Yang di-Pertuan Agong, Al-Marhum Sultan Abdul Halim Mu'adzam Shah Badlishah.

Kini, UTM telah melahirkan lebih 200,000 graduan yang kini berkhidmat di seluruh dunia.

Naib Canselor UTM, Prof Datuk Dr Ahmad Fauzi Ismail, berkata selaras dengan misi membangunkan bakat holistik dan mensejahtera kehidupan menerusi ilmu dan inovasi teknologi, UTM sentiasa mengetengahkan bakat, mendidik serta mewujudkan peluang kepada pelajar dan staf untuk mengembangkan potensi diri.

Katanya, sebagai contoh menerusi program 'UNIX' pelajar menjalani latihan praktikal di industri dengan memfokuskan kepada solusi setiap permasalahan yang dihadapi industri.

Pihak industri menjadi rakan penting UTM dalam merealisasikan hasrat menjelmakan hasil penyelidikan yang berimpak, selain membentuk pemikiran bakal graduan yang mahu mencipta pekerjaan.

Contoh kerjasama universiti-industri melalui projek penyelidikan kontrak dan perundingan dengan pihak Petroleum Nasional Berhad (Petronas), MMC Corporation Berhad, UMW Corporation Sdn Bhd, Sime Darby Berhad dan syarikat-syarikat tempatan menjadi bukti penerimaan hasil daripada idea dan inovasi penyelidik di UTM dalam pembangunan teknologi dan ekonomi negara pada masa kini.

"Minda entrepreneur serta penghasilan harta intelek penyelidikan yang dijalankan akan turut menjadi pemangkin kepada pembangunan syarikat pemula dan syarikat hiliran yang bukan sahaja menjadi penyumbang kepada pembangunan industri kejuruteraan dan teknikal negara, malah mewujudkan lebih banyak peluang pekerjaan kepada graduan UTM serta institusi lain.

"Di UTM, antara syarikat yang berjaya mewujudkan peluang pekerjaan termasuklah RunCloud, Biopro Resources Sdn Bhd dan DF Automation & Robotic Sdn Bhd," katanya

Universiti Teknologi Malaysia (UTM).
Universiti Teknologi Malaysia (UTM).

Melahirkan Graduan Pelapis Negara

Mengulas peranan UTM dalam melahirkan graduan terbilang untuk pembangunan negara pasca 50 tahun UTM, Ahmad Fauzi berkata, kebolehpasaran graduan (GE) UTM sememangnya dipacu bagi melahirkan bakat holistik dalam kalangan mahasiswa dan graduan selaras dengan hala tuju pelan strategik 'enVision' UTM 2025 dan Lima Agenda Perdana tahunan yang diperkenalkan oleh beliau sejak 2021.

Katanya, antara langkah UTM dalam memastikan GE yang tinggi adalah dengan penghasilan kualiti pengajaran cemerlang yang dilakukan menerusi siri libat urus industri dan kerjasama global praktikal yang erat bersama institusi luar negara.

"UTM juga membuat pelantikan pakar dalam bidang sebagai profesor adjung daripada kalangan alumni yang merupakan teknokrat terkemuka negara untuk menasihati fakulti dalam hal ehwal pengajaran dan penyelidikan yang relevan dengan keperluan kontemporari.

"Program '5ETP' turut memainkan peranan besar dalam membentuk graduan cemerlang. Contohnya, Muhamad Syafik Rahmat yang juga penerima Anugerah Tokoh Siswa Kebangsaan 2018 daripada Kementerian Pengajian Tinggi (KPT), beliau kini staf UTM yang membantu perkembangan institusi kami," katanya.

Mensejahterakan Kehidupan dengan Kecemerlangan Kesarjanaan

Mengenai peranan universiti untuk pembangunan negara, Ahmad Fauzi berkata, telah tiba masanya kita mengangkat inovasi, teknologi dan solusi yang dibangunkan oleh universiti tempatan ke tahap yang lebih tinggi.

Transformasi mentaliti dari pengguna teknologi kepada pencipta teknologi khususnya hasil penyelidikan tempatan perlu diterapkan dan diterima di sisi masyarakat dan industri.

Beliau berkata, UTM telah memperuntukkan dana khas untuk membangunkan teknologi bagi menyelesaikan masalah yang terdapat di dalam kampus, antaranya 'Jaga Drone' yang diaplikasikan dalam pengoperasian keselamatan universiti yang lebih efisien.

Bagi memperkasakan sinergi antara universiti dan industri, UTM telah memperkenalkan inisiatif Makmal Satelit Industri (Industry Satellite Lab) serta Makmal Hidup (Living Lab) yang berfungsi untuk membangunkan inovasi baharu untuk dimanfaatkan oleh pihak industri mahupun masyarakat. Kewujudan universiti juga seharusnya mensejahterakan masyarakat menerusi program pemindahan ilmu atau teknologi untuk masyarakat yang berimpak dan lestari.

Walaubagaimanapun, ianya memerlukan pembabitan empat sektor utama iaitu ahli akademia, industri, kerajaan dan juga masyarakat dalam memainkan peranan masing-masing untuk saling melengkapi bagi memastikan peranan universiti dioptimalkan.

"UTM contohnya, mewujudkan konsortium AIMS4STAR (Academia, Industri, Government and Society for Synergistic Transformation) sebagai pelantar berkolaborasi dan mencipta impak menyeluruh.

"Sumbangan membabitkan penerbitan ilmiah dan harta intelek adalah sumbangan asas penting yang akan terus UTM berikan, selari dengan sumbangan dalam pembangunan sosioekonomi masyarakat," katanya.

Beliau berkata, UTM akan terus menyumbang kepada pembangunan masyarakat dan komuniti menerusi program kesedaran, kemasyarakatan selain pemindahan pengetahuan.

"Kepakaran yang ada di UTM yang dibangunkan daripada Penyelidikan dan Inovasi dengan kerjasama industri menyumbang dana kepada program tanggungjawab sosial bukan sahaja akan membantu memberi solusi kepada masyarakat, malah membimbing mereka menjadi individu yang berilmu.

"Sektor kerajaan pula adalah penggubal polisi serta boleh mencadangkan insentif bagi menggalakkan kerjasama antara universiti dan industri dalam projek komuniti, manakala masyarakat perlu terbabit dan mengupaya advokasi awam melalui program kesukarelawan serta kesarjanaan awam serta memastikan komuniti yang ingin dibantu berupaya menjadi masyarakat berdikari," katanya .

Ahmad Fauzi berhasrat supaya langkah itu menjadikan graduan UTM mempunyai nilai tambah tinggi kerana institusi itu yang juga sebuah Universiti Penyelidikan (RU) berperanan besar dalam melahirkan graduan yang holistik.

Sebagai alumni UTM, beliau percaya graduan yang dilahirkan UTM amat cemerlang berbekalkan jati diri yang tinggi dan tersematnya moto keramat 'Kerana Tuhan Untuk Manusia' dalam hati mereka.

Katanya, tiada noktah dalam mencapai kecemerlangan, bahkan ia akan terus dilakar dan diperkasa dari semasa ke semasa.

"UTM kekal komited menjadi institusi pendidikan dan penyelidikan ulung negara serta dunia, khasnya dalam bidang sains, teknologi dan kejuruteraan, selain jalinan strategik dan bermakna dalam bidang sains sosial dan kemanusiaan.

"Dengan garapan usaha pendidikan dan penyelidikan merentas bidang, UTM akan terus memacu kecemerlangan berteraskan nilai ilmiah yang menandakan satu perbezaan ketara dengan institusi lain.

"Pada era terdahulu, kita mempunyai sarjana Islam ulung seperti Ibnu Sina, Al-Khawarizmi dan Jabir Ibnu Hayyan. Kini negara dan dunia perlukan sarjana ulung seperti mereka dalam membawa dunia kepada kesejahteraan dan kemakmuran bersama.

"Saya berharap, pada satu masa nanti, ada warga atau alumni UTM yang diiktiraf dunia melalui anugerah berprestij seperti Anugerah Nobel. Ini tidak mustahil untuk terjadi. Sama-sama kita berusaha dan berdoa agar ia menjadi kenyataan," katanya.

Berita Harian X