Ahad, 13 March 2022 | 8:47am
Ahmad Zahid berucap selepas BN memenangi PRN Johor, malam tadi. - FOTO BERNAMA
Ahmad Zahid berucap selepas BN memenangi PRN Johor, malam tadi. - FOTO BERNAMA

Hasni calon tunggal MB untuk perkenan Sultan Johor

JOHOR BAHRU: Datuk Seri Hasni Mohammad akan dicadangkan sebagai calon tunggal Menteri Besar untuk mendapat perkenan Sultan Johor, Sultan Ibrahim Iskandar.

Pengerusi Barisan Nasional (BN), Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi, berkata nama Pengerusi Badan Perhubungan UMNO Johor itu akan dikemukakan kepada baginda untuk pertimbangan selanjutnya.

Beliau yang tidak menyebut sebarang nama lain berkata, pencalonan tunggal sedemikian bertujuan memberi ruang kepada kestabilan pentadbiran kerajaan negeri dan jaminan terhadap pelbagai usaha pembangunan yang ingin dirintis.

"Saya akan mengemukakan nama Hasni agar mendapat perkenan Tuanku dan boleh meneruskan tugas sebagai Menteri Besar Johor.

"Ikhtiar BN Johor akan dilaksanakan dan kami sebagai kepemimpinan pusat, akan terus membantu Hasni untuk melaksanakan semua ikrar atau ikhtiar ini dengan secepat mungkin, bermula dengan Belanjawan Johor 2023.

"Bagi pihak BN, kami ingin mengucapkan terima kasih kepada seluruh pengundi Johor, tetapi jangan lupa untuk mengundi BN pada PRU15 (Pilihan Raya Umum Ke-15) akan datang," katanya pada sidang media di ibu pejabat UMNO Johor, di sini, lewat malam tadi.

Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) menerusi laman sesawangnya setakat tengah malam tadi mengesahkan BN melakar kemenangan selesa dengan memperoleh majoriti dua pertiga.

BN memenangi 40 daripada 56 kerusi DUN Johor, diikuti Pakatan Harapan (PH) 11 kerusi, Perikatan Nasional (PN) (tiga) dan masing-masing satu kerusi oleh Parti Ikatan Demokratik Malaysia (MUDA) serta PKR.

Ahmad Zahid turut mengambil kesempatan menzahirkan penghargaan dan menjunjung kasih atas perkenan Sultan Johor sebelum ini untuk membubarkan Dewan Undangan Negeri (DUN), sekali gus mengembalikan mandat kepada rakyat.

Pasca pengumuman SPR, Ahmad Zahid yang juga Presiden UMNO berharap suara rakyat Johor yang dilihat kembali memberi sokongan kepada BN untuk menerajui pentadbiran negeri akhirnya tidak mengundang sebarang kekecewaan kepada baginda.

"Saya menjunjung kasih Ke Bawah Duli Yang Maha Mulia, Tuanku Sultan Ibrahim Iskandar, atas perkenan Tuanku untuk mengembalikan mandat kepada rakyat.

"Semoga kejayaan ini tidak akan mengecewakan Tuanku untuk BN mewujudkan kerajaan yang stabil di Johor," katanya.

  • Galeri Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor
  • Berita Harian X