Jumaat, 11 March 2022 | 11:27pm

140 laporan polis diterima dalam tempoh kempen, paling banyak kes khianat

BATU PAHAT: Sebanyak 140 laporan polis diterima membabitkan pelbagai kesalahan sepanjang tempoh berkempen Pilihan Raya Negeri (PRN) bermula 26 Februari sehingga semalam.

Ketua Polis Johor, Datuk Kamarul Zaman Mamat, berkata sebanyak 37 kertas siasatan dibuka sehingga semalam di mana kes paling tinggi disiasat adalah di bawah Seksyen 427 Kanun Keseksaan.

"Kes paling tinggi ialah kes khianat kepada poster atau banner parti politik melibatkan 13 kertas siasatan dibuka.

"Antara kesalahan lain yang direkodkan adalah ceramah tanpa permit dan pelanggaran prosedur operasi standard (SOP), petugas parti politik dipukul dan bendera dipasang olehnya dicabut serta hantaran Facebook berbaur atau isyarat lucah," katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang media selepas merasmikan Majlis Amanat kepada pegawai dan anggota polis sempena PRN Johor di Dewan Sultan Ibrahim, Universiti Tun Hussien Onn Malaysia (UTHM) dekat sini, hari ini.

Beliau berkata, sebanyak 17 kawasan panas dikenal pasti yang menjadi tumpuan pada PRN kali ini dengan mengambil sentimen persaingan politik, isu perkauman, jenayah kongsi gelap, pertaruhan serta pelbagai aktiviti jenayah.

"Selain itu sebanyak 2,977 permit telah diluluskan, manakala 12 permit ditolak di seluruh negeri Johor.

"Seramai kira-kira 10,988 pegawai dan anggota polis telah diatur gerak melibatkan 5,594 orang adalah daripada kontinjen Johor, manakala seramai 5,394 pula daripada bantuan kontinjen luar," katanya.

Katanya, sebanyak 112 Pasukan Cantas PRN Johor dengan kekuatan seramai 448 pegawai dan anggota diatur gerak kesemua 56 Dewan Undangan Negeri (DUN) Johor bagi memastikan kelancaran ketika proses pengundian esok.

"Pihak polis menasihatkan semua pengundi tidak perlu bimbang untuk keluar mengundi dan polis akan menjamin keselamatan rakyat sepanjang proses pengundian.

"Begitu juga dengan calon yang bertanding mestilah mengikut SOP yang telah ditetapkan dan boleh berkempen hingga jam 12.00 malam ini sahaja," katanya.

Tambahnya, polis menasihatkan supaya sebelum menunaikan tanggungjawab berkenaan untuk pastikan membuat saringan COVID-19 terlebih dahulu bagi memastikan tahap kesihatan bebas daripada jangkitan COVID-19.

Berita Harian X