Jumaat, 11 March 2022 | 8:19pm
Menteri Kesihatan, Khairy Jamaludin. - Foto BERNAMA
Menteri Kesihatan, Khairy Jamaludin. - Foto BERNAMA

'Tidak buat saringan awal beri kesan kepada angka kematian'

KUALA LUMPUR: Kesedaran masyarakat yang rendah dalam melakukan saringan awal kesihatan menjadi faktor angka kematian akibat penyakit kronik di negara ini terus meningkat dan turut dibimbangi memberi kesan kepada sistem perkhidmatan kesihatan.

Menteri Kesihatan, Khairy Jamaluddin, berkata situasi sama dilihat ketika negara dilanda pandemik COVID-19 dengan kebanyakan pesakit meninggal dunia dalam kalangan individu mengalami komplikasi penyakit lain.

"Malaysia menghadapi masalah penyakit tidak berjangkit yang tinggi seperti kencing manis, darah tinggi, kardiovaskular dan lain-lain. Ini merumitkan keadaan sebab ia (membabitkan) dua tiga rangkai penyakit dan kemungkinan untuk sembuh agak rendah disebabkan komplikasi penyakit lain.

"Ini juga dapat dilihat ketika pandemik COVID-19 ramai yang tanya kenapa kadar kematian di Malaysia agak tinggi. Saya boleh katakan bila lihat di hospital, ramai yang meninggal dunia adalah mereka yang mempunyai komorbiditi," katanya ketika berucap pada Program Hari Bersama Pesakit Kanser Sempena Hari Kanser Sedunia 2022, di Restoran Roti@D'Tandoor, di sini, hari ini.

Yang turut hadir, Pengasas Rangkaian Antarabangsa D'Tandoor Food Industries, Datuk Abdul Malik Abdullah, Pengerusi dan Pengasas Yayasan Kaseh Kanser & Kronik (YKKK), Datuk Dr Imi Sairi Abd Hadi dan Ketua Pegawai Eksekutif Yayasan Prihatin Nasional, Datuk Mohd Aizuddin Mohd Ghazali.

Khairy berkata, kerjasama semua pihak amat perlu bagi mengenal pasti ruang penambahbaikan khususnya meningkatkan kesedaran masyarakat terhadap pengesanan awal dan saringan kesihatan.

"Saya lihat kesedaran dalam kalangan masyarakat terutama orang Melayu sangat kurang, termasuk mengenai vaksin. Di bawah Kementerian Kesihatan (KKM), Skim Peduli Kesihatan untuk Kumpulan B40 (PeKa), saringan kesihatan percuma diberikan kepada semua golongan B40 berusia 40 tahun ke atas dan menerima bantuan sara hidup dari kerajaan.

"Tetapi, sejuta lebih tidak melakukan saringan asas walaupun ia percuma. Bila kita berdepan keadaan sebegini tidak diketahui apakah beban sistem kesihatan negara yang sebenar, kita hanya tahu bila ramai yang sakit," katanya.

Dalam pada itu, Khairy berkata, kadar kes pesakit kanser dikesan lewat pada tahap tiga dan empat turut membimbangkan.

"Kes yang dikesan lewat bagi tahap tiga dan empat meningkat dari 58.7 peratus pada 2007 hingga 2011 kepada 63.7 peratus pada tahun 2012 hingga 2016.

"Kadar peningkatan peratusan ini amat membimbangkan kerana kajian 'Malaysian Study on Cancer Survival' yang diterbitkan pada Oktober 2018 menunjukkan semakin lewat kanser dikesan, semakin rendah kadar survival pesakit," katanya.

Pada majlis sama, Khairy turut menyampaikan sumbangan sebanyak RM3,000 kepada enam persatuan kanser di Kuala Lumpur dan sebanyak 120 bakul kasih berupa barangan keperluan harian kepada pesakit terpilih.

Berita Harian X