Khamis, 10 March 2022 | 4:18pm

Nilai risiko banjir berdasarkan unjuran perubahan iklim

KUALA LUMPUR: Kementerian Alam Sekitar dan Air (KASA) melaksanakan penilaian risiko bencana banjir berdasarkan unjuran perubahan iklim melalui inisiatif peta hazard banjir dan peta risiko banjir.

Menterinya, Datuk Seri Tuan Ibrahim Tuan Man, berkata bawah Jabatan Pengairan dan Saliran (JPS), penilaian risiko bencana banjir merangkumi 36 lembangan sungai utama di seluruh negara telah siap dibangunkan.

"Bagi kawasan Lembah Klang, peta hazard banjir bagi enam lembangan sungai telah siap dibangunkan, manakala peta risiko banjir membabitkan lembangan Sungai Bernam juga telah siap dibangunkan," katanya pada sesi jawab lisan di Dewan Rakyat, hari ini.

Beliau menjawab soalan Datuk Mohd Nizar Zakaria (BN-Parit) mengenai kajian kerajaan berhubung kemungkinan perubahan iklim drastik dengan bencana alam yang dijangka lebih kerap serta tahap kesiapsiagaan sistem amaran bencana negara.

Tuan Ibrahim berkata, JPS dan Jabatan Meteorologi Malaysia (MetMalaysia) sentiasa menyegerakan, menyelenggara dan menambah baik tahap kesiapsiagaan sistem amaran awal bawah seliaan jabatan berkenaan.

Beliau berkata, bawah Rancangan Malaysia Ke-11 (RMK11) dan Rancangan Malaysia Ke-12 (RMK12), MetMalaysia sedang memasang lapan sistem radar baharu di Perak, Kelantan, Terengganu, Sabah dan Sarawak sebagai tambahan kepada 11 sistem radar sedia ada dan dijangka siap sepenuhnya tahun ini.

"Selain itu, JPS turut melaksanakan program ramalan dan amaran banjir yang bertujuan memberi amaran awal kepada agensi berkaitan pengurusan bencana dan orang awam.

"Siren akan dibunyikan apabila aras air melepasi nilai ambang tertentu, untuk memberi amaran awal kepada penduduk setempat, ramalan banjir seawal tujuh hari dan amaran seawal dua hari disediakan bagi lokasi dijangka banjir," katanya.

Beliau berkata, buat masa ini, sistem itu beroperasi di lembangan Sungai Pahang, Kelantan dan Terengganu dengan ketepatan 65 peratus, manakala sistem amaran bawah Pusat Ramalan dan Amaran Banjir Negara (PRABN) bagi negeri lain di seluruh negara sedang dinaik taraf. – BERNAMA

Tuan Ibrahim pada sidang Dewan Rakyat, hari ini. - FOTO BERNAMA
Tuan Ibrahim pada sidang Dewan Rakyat, hari ini. - FOTO BERNAMA
Berita Harian X