Khamis, 10 March 2022 | 2:33pm
Gambar hiasan
Gambar hiasan

MOTAC, kerajaan negeri sedia terima pelancong asing

KUALA LUMPUR: Kementerian Pelancongan, Seni dan Budaya (MOTAC) akan bekerjasama erat dengan kerajaan negeri dalam menjalankan persiapan dan persediaan bagi menerima pelancong luar negara tidak lama lagi.

Ia susulan pengumuman kerajaan sempadan negara akan dibuka semula pada 1 April ini dalam usaha merancakkan semula industri pelancongan dan kebudayaan negara yang terjejas teruk akibat pandemik COVID-19.

MOTAC dalam kenyataan berkata, hari ini kementerian sudah mengadakan Mesyuarat Jawatankuasa Kebangsaan Pembangunan Pelancongan dan Kebudayaan (JKPPK) Bilangan 1 Tahun 2022 di ibu negara yang dipengerusikan Menterinya, Datuk Seri Nancy Shukri.

Katanya, selain pembabitan wakil dari MOTAC, mesyuarat itu juga disertai Exco Pelancongan dan Kebudayaan serta jabatan atau agensi kerajaan negeri yang berkaitan.

"Mesyuarat ini adalah satu platform di antara MOTAC dan kerajaan negeri bagi membincangkan isu dan perkongsian maklumat mengenai pembangunan industri pelancongan dan kebudayaan terutamanya di peringkat negeri," katanya.

Kenyataan itu berkata, sebanyak empat kertas makluman dibentangkan iaitu Dasar Kebudayaan Negara (DAKEN) yang dilancarkan pada 26 Oktober lalu; Belanjawan 2022 di bawah Sektor Pelancongan dan Kebudayaan; Dana di Bawah Seliaan Bank Pembangunan Malaysia Berhad (BPMB) dan Special Tourism Investment Zone (STIZ).

Katanya, perkara yang dibincangkan pada mesyuarat itu pula termasuk berkenaan bantuan atau insentif kerajaan bagi memastikan kelangsungan penggiat industri; promosi dan pemasaran bagi produk pelancongan dan kebudayaan di negeri; tenaga kerja di dalam industri pelancongan dan kebudayaan termasuk pembangunan modal insan; serta pembukaan sempadan negara.

"Terdahulu Pertubuhan Pelancongan Dunia (UNWTO) menjangkakan pelancongan dunia akan kembali seperti keadaan prapandemik pada atau selepas tahun 2024.

"UNWTO turut menjangkakan bahawa ketibaan pelancong antarabangsa akan meningkat sebanyak 30 peratus sehingga 78 peratus pada tahun 2022 berbanding 2021.

"Bagaimanapun, ia masih 50 peratus hingga 63 peratus lebih rendah berbanding paras prapandemik," katanya.

Kenyataan itu berkata, peratusan itu masih rendah kerana penularan varian Omicron yang dianggap bergejala ringan hingga mengganggu fasa pemulihan awal 2022.

Oleh itu katanya, tempoh bagi tahun 2022 hingga 2023 menjadi fasa yang kritikal bagi pemulihan industri pelancongan dan kebudayaan.

"Ini bermakna perkara yang akan ditekankan sepanjang tempoh pemulihan ini adalah pelancongan domestik dan antarabangsa; merancakkan kembali ekosistem kesenian dan kebudayaan; memperkayakan aktiviti penjanaan ekonomi melalui industri kreatif daripada bidang kesenian dan kebudayaan.

"Menambah nilai kepada acara perniagaan (business events); menaik taraf dan menyelenggara kemudahan pelancongan termasuk bangunan dan tapak warisan negara dan pembukaan sempadan negara," katanya.

Justeru MOTAC berharap pengumuman kerajaan bahawa sempadan negara akan dibuka semula pada 1 April dapat merancakkan semula industri pelancongan dan kebudayaan negara yang terjejas sebelum ini.

Oleh itu, MOTAC dan kerajaan negeri akan bekerjasama menyegerakan persiapan dan persediaan bagi menerima para pelancong dari luar negara nanti.

Berita Harian X