Khamis, 10 March 2022 | 10:27am

Kes keganasan rumah tangga naik 42 peratus tahun lalu

KUALA LUMPUR: Jumlah kes keganasan rumah tangga meningkat sebanyak 42 peratus, tahun lalu.

Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat, Datuk Seri Rina Mohd Harun, berkata sebanyak 7,468 kes keganasan rumah tangga direkodkan, tahun lalu, berbanding 5,260 pada 2020.

"Sebanyak 3,028 panggilan membabitkan kes keganasan rumah tangga diterima melalui Talian Kasih 15999 bagi tempoh Januari hingga Disember 2021.

"Daripada jumlah itu, sebanyak 974 panggilan dikategorikan sebagai aduan," katanya dalam jawapan lisan kepada soalan Datuk Seri Hasan Arifin (BN-Rompin) di Dewan Rakyat.

Rina berkata, kementerian mengambil berat dan prihatin terhadap mangsa keganasan rumah tangga.

Justeru, beliau berkata, beberapa inisiatif sudah dijalan dan masih diteruskan untuk membendung masalah itu, antaranya menyediakan perkhidmatan aduan menerusi Talian Kasih 15999.

"Kementerian melalui Jabatan Pembangunan Wanita (JPW) menjalankan pelbagai program advokasi sepanjang tahun. Program ini menyediakan perkhidmatan kaunseling secara dalam talian dan melaksanakan program psikopendidikan melalui DeStress Clinic, Klinik Undang-Undang, Wanita Antijenayah dan program Sukarelawan Skuad Waja sejak 2021.

"Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) turut menyediakan bantuan sokongan kepada wanita seperti Tabung Bantuan Segera, Bantuan Kanak-Kanak serta Bantuan Bakul Prihatin, tertakluk kepada kelayakan dan syarat bantuan berkenaan," katanya.

Selain itu, Rina berkata, penempatan sementara di tempat selamat juga disediakan, sekiranya diperlukan oleh mangsa.

Berita Harian X