Rabu, 9 March 2022 | 6:18pm
Banjir kilat melanda ibu kota, kelmarin.
Banjir kilat melanda ibu kota, kelmarin.

Kerajaan pertimbang beri BWI mangsa banjir kilat Lembah Klang

KUALA LUMPUR: Kementerian Wilayah Persekutuan sudah memohon kepada Agensi Pengurusan Bencana Negara (NADMA) untuk memberi Bantuan Wang Ihsan (BWI) kepada mangsa banjir kilat di Lembah Klang, kelmarin.

Menterinya, Datuk Seri Dr Shahidan Kassim, berkata ia kerana ketika ini, mangsa banjir kilat tidak dikategorikan dalam senarai layak menerima bantuan bencana itu.

Beliau menjelaskan dalam kejadian banjir di ibu kota itu, terdapat mangsa yang dipindahkan ke pusat pemindahan sementara (PPS), justeru mereka dilihat layak diberikan bantuan berkenaan.

"Sebagai kerajaan yang prihatin, kita sudah memohon perkara ini (BWI).

"Mereka yang tidak berpindah ke PPS tetapi berlindung di rumah jiran atau keluarga juga dipertimbangkan untuk BWI," katanya ketika menggulung perbahasan usul berhubung banjir di Lembah Klang, di Dewan Rakyat, hari ini.

Usul itu dibahaskan pada waktu rehat bermula jam 1 tengah hari, dengan lima Ahli Parlimen mengambil bahagian.

Cadangan usul yang dikemukakan Fong Kui Lun (PH-Bukit Bintang) kelmarin itu dipersetujui sebulat suara oleh ahli-ahli Dewan Rakyat.

Mengulas lanjut, Shahidan berkata, Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) melantik perunding bagi mengkaji dan mereka bentuk semula parit monsun dan longkang untuk meningkatkan keupayaan infrastruktur itu bagi menampung jumlah air hujan, seterusnya mengatasi masalah banjir kilat.

Beliau berkata, perunding yang dilantik diarah menyiapkan kajian itu dalam tempoh 12 bulan berdasarkan kala purata ulangan (ARI) 200 (reka bentuk infrastruktur saliran serta pantai daripada 100 tahun ARI kepada 200 tahun ARI) oleh Jabatan Pengairan dan Saliran (JPS).

"Ini penyelesaian secara menyeluruh bagi mengatasi banjir dengan menggunakan ARI 200 sebagai asas mereka bentuk semula keupayaan sungai dan longkang termasuk longkang tepi jalan raya di Kuala Lumpur," katanya.

Shahidan turut menjelaskan banjir kilat di Kuala Lumpur kelmarin, bukan berpunca daripada kegagalan fungsi enam kolam takungan banjir JPS di wilayah itu.

Sebaliknya, beliau berkata, kolam itu berfungsi dengan kapasiti mencukupi bagi menampung air hujan, selain beroperasi mengikut prosedur operasi standard (SOP) yang ditetapkan.

Enam kolam berkenaan ialah Kolam Batu di Batu; Kolam Nanyang (Jinjang); Kolam Batu 4 ½ (Jalan Klang Lama); Kolam Delima (Kepong); Kolam Taman Wahyu (Selayang); dan Kolam Taman Desa (Seputeh).

Bagaimanapun, katanya, Kolam Takungan Banjir Boyan di Sungai Bunus, Titiwangsa, tidak dapat menampung jumlah hujan yang luar biasa melebihi kapasiti kolam terbabit dan berlaku limpahan air ke kawasan sekitar.

"JPS sedang melaksanakan projek tebatan banjir di kawasan PULAPOL (Pusat Latihan Polis) Jalan Semarak, selain membina tembok penahan banjir bagi mengelakkan kejadian sama berulang," katanya.

Shahidan berkata, ketika hujan lebat kelmarin, Terowong SMART diaktifkan dan proses lencongan air banjir berlangsung selama hampir enam jam dengan keseluruhan sebanyak 1.15 juta meter padu air dilencongkan.

Katanya, insiden banjir kilat itu berlaku akibat taburan hujan yang luar biasa bermula jam 3 petang, iaitu melebihi 40 milimeter per jam membabitkan 29 kawasan di ibu negara.

Beliau berkata, air di 25 kawasan terbabit surut selepas 30 hingga 45 minit insiden berlaku, manakala empat kawasan pula selepas lebih sejam.

"Kejadian banjir ini membabitkan kawasan selatan Kuala Lumpur dan pusat bandar. Dua PPS dibuka di Kampung Pasir di Lembah Pantai dan Kampung Periuk di Kampung Baru dengan lebih 300 keluarga ditempatkan," katanya.

Dalam pada itu, Shahidan menafikan dakwaan Teresa Kok (PH-Seputeh) bahawa beliau tiada di lokasi insiden.

Katanya, beliau berada di Dewan Rakyat ketika hujan lebat dan bergegas ke PPS Kampung Periuk selepas menerima maklumat kemungkinan banjir akan berlaku.

"Seputeh kena tarik balik dakwaan, saya hadir di PPS sebelum banjir berlaku. Saya tidak pergi ke Johor untuk kempen pilihan raya (Pilihan Raya Negeri Johor), tetapi saya tidak nampak Seputeh di mana-mana PPS ketika banjir," katanya.

Dakwaan Shahidan itu pula menyebabkan Teresa bangun dan meminta beliau menarik balik kenyataan itu.

"Menteri kena tarik balik kenyataan itu. Saya ada di kawasan saya ketika banjir. Saya ada di tempat letak kereta tetapi tidak boleh bergerak kerana sudah banjir," katanya.

Shahidan turut menyangkal dakwaan bahawa Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) gagal menyelenggara sampah sehingga menyebabkan air sungai meningkat dan berlaku banjir.

Beliau menegaskan, DBKL dengan kontraktor pembuangan sisa pepejal, Alam Flora, melakukan penyelenggaraan secara kerap dan berkala.

"Untuk sungai, kita sudah meletakkan perangkap sampah di hulu sungai, namun taburan hujan lebat menyebabkan perangkap sampah ini pecah dan sampah berkumpul di hilir sungai," katanya.

Sementara itu, Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Tugas-Tugas Khas), Datuk Mastura Mohd Yazid, ketika menggulung perbahasan usul sama berkata kerajaan sedang meneliti untuk memasukkan banjir kilat yang memberi impak besar, ke dalam senarai bencana alam di negara ini.

Dengan langkah itu, beliau berkata, mangsa banjir kilat yang terjejas teruk akan mendapat BWI daripada NADMA.

"Sudah tiba masanya, atas keprihatinan Perdana Menteri, takrifan ini diteliti semula, lebih-lebih lagi membabitkan banjir kilat yang memberi impak besar kepada rakyat, termasuk kehilangan nyawa, tempat tinggal dan kerosakan kediaman serta peralatan rumah

"Ketika ini, kerajaan tetap mempertimbang jika ada syor daripada Jawatankuasa Bencana Wilayah atau Daerah berdasarkan impak satu-satu bencana itu. Walaupun banjir kilat, jika sampai ke tahap hilang harta benda dan nyawa serta ada keperluan mangsa dipindahkan, maka penyaluran BWI tetap boleh dipertimbangkan," katanya.

Beliau memaklumkan pada 3 Mac lalu, NADMA sudah menyalurkan BWI RM1,000 kepada 1,775 isi rumah di Wilayah Persekutuan yang terkesan banjir pada Disember lalu.

Menggulung perbahasan usul sama, Timbalan Menteri Alam Sekitar dan Air, Datuk Mansor Othman, berkata Jabatan Meteorologi Malaysia (MetMalaysia) sudah memberi amaran cuaca, dua hari sebelum kejadian, dan amaran ribut petir dikeluarkan seawal jam 1.35 tengah hari kelmarin.

"Sistem amaran awal itu tepat, namun dari segi ketepatan lokasi, masih ada kelemahan dan ia sedang dalam proses dinaik taraf serta diperbaiki dari semasa ke semasa," katanya.

Mengenai sistem amaran banjir di sungai, beliau berkata, ia berjalan dengan baik ketika kejadian, dan kerja naik taraf sedang dilakukan terhadap sistem itu di sepanjang lembangan sungai.

"Sebanyak RM160 juta diperuntukkan bagi menaik taraf sistem amaran banjir membabitkan siren dan kamera web di seluruh negara.

"Daripada jumlah itu, sebanyak RM121.3 juta bagi menambah 516 unit siren; RM6.2 juta untuk pembelian penggantian kamera web; dan RM32.6 juta bagi pembelian 361 kamera web baharu," katanya.

Berita Harian X