Rabu, 9 March 2022 | 2:56pm
Al-Sultan Abdullah bersama Sultan Mizan pada Majlis Penanaman Pokok Ceri Terengganu di pekarangan Istana Negara, hari ini. - FOTO BERNAMA
Al-Sultan Abdullah bersama Sultan Mizan pada Majlis Penanaman Pokok Ceri Terengganu di pekarangan Istana Negara, hari ini. - FOTO BERNAMA

Sultan Terengganu pengerusikan Mesyuarat Majlis Raja-Raja Ke-258

KUALA LUMPUR: Sultan Terengganu, Sultan Mizan Zainal Abidin, mempengerusikan Mesyuarat Majlis Raja-Raja Ke-258 di Istana Negara, di sini, hari ini.

Mesyuarat itu berlangsung selepas kali terakhir diadakan pada 24 dan 25 November 2021 yang dipengerusikan oleh Sultan Kedah, Al Aminul Karim Sultan Sallehuddin Sultan Badlishah.

Terdahulu, sebelum mempengerusikan mesyuarat yang bermula jam 11 pagi itu, Sultan Mizan berkenan memberi tabik hormat ke atas Kawalan Kehormatan Utama (KKU) yang dibarisi Batalion Pertama Rejimen Askar Melayu Diraja di Dataran Utama.

Sultan Mizan kemudian turut berkenan menanam pokok Ceri Terengganu (Lepisanthes alata) di pekarangan Istana Negara sebagai simbolik Sultan Terengganu mempengerusikan Mesyuarat Majlis Raja-Raja kali ini.

Yang di-Pertuan Agong, Al-Sultan Abdullah Ri'ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah, turut berkenan menyaksikan Majlis Penanaman Pokok itu.

KKU dan Majlis Penanaman Pokok adalah cetusan idea Al-Sultan Abdullah dan tidak pernah diadakan sebelum pelantikan Seri Paduka sebagai Yang di-Pertuan Agong ke-16.

KKU julung kali diadakan pada Mesyuarat Majlis Raja-Raja Ke-254, manakala Majlis Penanaman Pokok kali pertama diadakan pada mesyuarat ke-255.

Mesyuarat dua hari bermula hari ini turut dihadiri semua Raja-Raja Melayu kecuali Kelantan, Pahang dan Johor.

Raja-Raja yang berangkat ialah Raja Perlis, Tuanku Syed Sirajuddin Putra Jamalullail; Sultan Selangor, Sultan Sharafuddin Idris Shah; Sultan Perak, Sultan Nazrin Muizzuddin Shah; Yang di-Pertuan Besar Negeri Sembilan, Tuanku Muhriz Almarhum Tuanku Munawir; dan Sultan Kedah, Al Aminul Karim Sultan Sallehuddin Sultan Badlishah.

Sementara itu, Pahang diwakili Pemangku Raja Pahang, Tengku Hassanal Ibrahim Alam Shah Al-Sultan Abdullah, manakala Kelantan diwakili Tengku Mahkota Kelantan, Tengku Dr Muhammad Faiz Petra Sultan Ismail Petra.

Mesyuarat itu turut dihadiri Yang di-Pertua Negeri Pulau Pinang, Melaka, Sabah dan Sarawak.

Pada mesyuarat itu, Raja-Raja Melayu diiringi Menteri Besar masing-masing, manakala Yang di-Pertua Negeri diiringi Ketua Menteri kecuali Sarawak yang diiringi Timbalan Premier. – BERNAMA

Berita Harian X