Rabu, 9 March 2022 | 12:46pm

'4 pelajar Malaysia menangis, rayu bantuan terkandas di Ukraine' - Rayer

KUALA LUMPUR: Yang Dipertua Dewan Rakyat, Tan Sri Azhar Azizan Harun, akan meneliti usul meminta kerajaan membawa balik pelajar Malaysia yang didakwa masih terkandas di Ukraine.

Memandangkan usul itu baru saja dikemukakan, Azhar berkata, beliau akan meneliti perkara itu terlebih dahulu.

"Saya diberitahu Yang Berhormat mengemukakan usul itu pada jam 11 pagi tadi, justeru saya akan meneliti untuk membuat keputusan," katanya di Dewan Rakyat, hari ini.

Usul itu dikemukakan RSN Rayer (PH-Jelutong) sebelum sesi perbahasan Titah Ucapan Yang di-Pertuan Agong disambung semula.

Rayer berkata, beliau mengemukakan usul itu mengikut notis Peraturan Mesyuarat 18 di mana isu pelajar didakwa terkandas di Ukraine itu adalah perkara tertentu berkenaan kepentingan orang ramai yang perlu disegerakan.

"Kelmarin, saya ada menerima video empat pelajar di Ukraine, empat gadis yang menangis meminta bantuan Kerajaan Malaysia untuk membawa mereka balik dari Ukraine.

"Dalam video itu, mereka bercakap dalam bahasa Tamil merayu sambil menangis menyatakan mereka tidak ada makanan dan sedang berlindung di satu kawasan, malah mereka mendakwa tiada air untuk minum.

"Justeru, saya merayu Wisma Putra dan kerajaan supaya membawa balik mereka dengan segera. Saya cuma risau mengenai nasib pelajar kita yang masih berada di Ukraine, dan tindakan segera perlu diambil bagi mengeluarkan mereka dengan selamat," katanya.

Media semalam melaporkan Menteri Luar, Datuk Seri Saifuddin Abdullah, berkata tiada pengesahan dapat dibuat, setakat ini, berhubung dakwaan melalui satu rakaman video mengenai sekumpulan pelajar terkandas di Ukraine.

"Hingga kini, tiada pengesahan dapat dibuat atas dakwaan itu serta identiti mereka sebagai warganegara Malaysia.

"Namun, saya ingin menggesa supaya mana-mana warganegara Malaysia di Ukraine yang masih belum mendaftarkan diri dengan pihak kedutaan, untuk segera berbuat demikian," katanya.

Sebelum ini, Wisma Putra dilapor mengesahkan empat rakyat Malaysia yang berdaftar dengan Kedutaan Besar Malaysia di Kiev masih berada di Ukraine selepas misi evakuasi, baru-baru ini.

Rayer pada sidang Dewan Rakyat, hari ini. - FOTO BERNAMA
Rayer pada sidang Dewan Rakyat, hari ini. - FOTO BERNAMA
Berita Harian X