Rabu, 9 March 2022 | 10:42am
Menteri Pelancongan, Seni dan Budaya, Datuk Seri Nancy Shukri
Menteri Pelancongan, Seni dan Budaya, Datuk Seri Nancy Shukri

Penggiat industri perlu bersedia terima pelancong luar

PUTRAJAYA: Penggiat industri pelancongan dan kebudayaan disaran supaya melakukan persediaan awal bagi menerima kemasukan pelancong dari luar negara, susulan pembukaan sempadan 1 April ini.

Menteri Pelancongan, Seni dan Budaya, Datuk Seri Nancy Shukri, berkata pihak terbabit perlu mempergiatkan promosi serta lebih kreatif dalam memasarkan produk dan lokasi pelancongan Malaysia di mata dunia.

"Keputusan pembukaan sempadan negara kepada pelancong luar ini berupaya merancakkan kembali pemulihan ekonomi negara pascaCOVID-19, terutama yang membabitkan keseluruhan rantaian pemain industri pelancongan, seni dan budaya di negara ini.

"Kementerian Pelancongan, Seni dan Budaya (MOTAC) kekal optimis industri ini akan kembali bangkit dan berupaya menjadikan Malaysia kembali popular dalam kalangan pelancong antarabangsa," katanya.

Semalam, Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob, mengumumkan Malaysia akan memasuki Fasa 'Peralihan Ke Endemik' serta pembukaan semula sempadan negara mulai bulan depan.

Menyifatkan pengumuman itu sebagai berita gembira buat penggiat industri pelancongan, Nancy berkata, ia memberi peluang untuk menjana semula sektor pelancongan antarabangsa selepas dua tahun dilanda pandemik.

Beliau berkata, pihaknya sentiasa memberikan kerjasama dan menyokong usaha semua agensi kerajaan yang terbabit bagi menjayakan pembukaan semula sempadan negara kelak. – BERNAMA

Berita Harian X