Selasa, 8 March 2022 | 6:28pm
Foto hiasan
Foto hiasan

Pertikaian sektor pembinaan dimansuhkan kepada tanpa had nilai

KUALA LUMPUR: Kerajaan bersetuju memansuhkan pertikaian di bawah sektor pembinaan yang sebelum ini ditetapkan pada kadar tidak melebihi RM500,000 kepada tanpa had nilai.

Menteri Di Jabatan Perdana Menteri (Parlimen dan Undang-Undang), Datuk Seri Wan Junaidi Jaafar, bagaimanapun, berkata pemansuhan had nilai itu hanya membabitkan kes di bawah kategori pembinaan sahaja, manakala had nilai bagi kategori lain kekal pada RM500,000.

"Inisiatif ini diharap dapat membantu mempercepatkan pemulihan projek bermasalah dan seterusnya merancakkan semula industri pembinaan negara.

"Langkah ini juga sebagai menyokong pindaan Akta 829 yang dikuatkuasakan mulai 14 Januari lalu yang mana membenarkan apa-apa kategori pertikaian kontrak dirujuk ke Pusat Mediasi COVID-19 (PMC-19) tanpa tertakluk kepada sembilan kategori yang ditetapkan sebelum ini," katanya dalam kenyataan, hari ini.

Katanya, sejak mula ditubuhkan sejurus wabak COVID-19 melanda negara, PMC-19 memainkan peranan membantu orang awam dan entiti perniagaan menyelesaikan pertikaian berbangkit.

Beliau berkata, hal itu akibat ketidakupayaan untuk melaksanakan obligasi kontraktual yang disebabkan oleh langkah diambil kerajaan di bawah Akta Pencegahan dan Pengawalan Penyakit Berjangkit 1988. [Akta 342].

"Dalam hal ini, berdasarkan Seksyen 9 kepada Akta Langkah-Langkah Sementara Bagi Mengurangkan Kesan Penyakit Koronavirus 2019 (COVID-19) 2020, Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Parlimen dan Undang-Undang) diperuntukkan kuasa untuk menentukan proses pengantaraan, pelantikan pengantara, peranan pengantara, perjalanan pengantaraan dan pengakhiran pengantaraan," katanya.

Katanya, sebelum ini had nilai pertikaian yang boleh dirujuk untuk pengantaraan melalui PMC-19 bagi semua kategori adalah tidak melebihi RM500,000.

"Bagaimanapun, berdasarkan maklum balas yang diperolehi melalui sesi libat urus antara Bahagian Hal Ehwal Undang-Undang, Jabatan Perdana Menteri dan pemain utama sektor pembinaan, didapati terdapat keperluan untuk had

nilai bagi pertikaian di bawah sektor pembinaan di PMC-19 disemak semula.

"Jadi, besar harapan saya agar warga Keluarga Malaysia yang mempunyai sebarang pertikaian kontrak. Ia termasuk kontrak pembinaan akibat pelaksanaan perintah kawalan di bawah Akta Pencegahan dan Pengawalan Penyakit Berjangkit 1988 sejak tahun 2020 untuk menyelesaikan pertikaian secara baik tanpa membabitkan proses perbicaraan di mahkamah melalui perkhidmatan pengantaraan (mediasi) yang ditawarkan oleh PMC-19, Jabatan Perdana Menteri," katanya.

Katanya, PMC-19 boleh dihubungi menerusi talian 03 8872 7070 atau laman web www.pmc19.gov.my.

Berita Harian X