Selasa, 8 March 2022 | 6:04pm
Pengerusi Ikatan Komuniti Selamat, Tan Sri Lee Lam Thye. - Foto NSTP
Pengerusi Ikatan Komuniti Selamat, Tan Sri Lee Lam Thye. - Foto NSTP

Pengurusan kawasan pembinaan tidak berkualiti punca banjir

KUALA LUMPUR: Banjir kilat yang berlaku di Kuala Lumpur semalam adalah disebabkan pengurusan kawasan pembinaan yang tidak berkualiti menyebabkan longkang tersumbat dan air tidak dapat mengalir melalui saluran keluar biasa.

Pengerusi Ikatan Komuniti Selamat, Tan Sri Lee Lam Thye, berkata tiada perancangan yang boleh dilihat daripada pihak pembina dalam mewujudkan sistem perparitan diubahsuai terlebih dahulu.

"Ketika projek pembinaan sedang dijalankan banyak sistem saluran air tersumbat atau di tutupi sisa-sisa pembangunan.

"Apabila tiada aliran air menyebabkan air bertakung di jalan utama lantas berlakunya banjir kilat," katanya dalam kenyataan, hari ini.

Beliau berkata, pihak berkuasa seperti Dewan Bandaraya Kuala Lumpur perlu melakukan pemeriksaan di setiap projek pembangunan bagi memastikan tiada saluran longkang ditutup dengan sisa-sisa binaan.

"Pemeriksaan ini akan dapat menghalang daripada berlakunya saliran air tersumbat dan seterusnya bertakung.

"DBKL seharusnya memantau kerja kontraktor dengan betul dan tidak menyerahkan pembina membuat perkara sesuka hati mereka supaya rakyat tidak menderita,"katanya.

Selain itu beliau berkata, alam sekitar tidak boleh disalahkan sebaliknya kitalah harus menyalahkan diri sendiri kerana wujudnya pembangunan yang mendatangkan kerosakan dan bencana.

"Kita jugalah yang seharusnya memikir cara untuk mengelak bencana dan menghadapi amarah alam kerana tindakan kita yang mencemar bumi dan merosakkan alam semula jadi.

Berita Harian X