Selasa, 8 March 2022 | 2:28pm
Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob.
Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob.

Program Pembasmian Kemiskinan Tegar Keluarga Malaysia dilaksana bermula April

PUTRAJAYA: Program Pembasmian Kemiskinan Tegar Keluarga Malaysia (BMTKM) akan dilaksanakan bermula April ini, kata Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob.

Beliau berkata, program berkenaan akan membabitkan 480 lokaliti rintis di seluruh negara dengan pembabitan semua pihak khususnya daripada kerajaan negeri.

"Program ini bertujuan membasmi miskin tegar menjelang 2025 dengan fasa pertama akan membabitkan 80 lokaliti rintis di seluruh negara.

"Bagi fasa kedua dan ketiga pula ia akan dilaksanakan pada September hingga Disember, disusuli fasa keempat hingga keenam yang akan dilaksanakan pada 2023," katanya.

Beliau berkata demikian melalui kenyataan selepas mempengerusikan Mesyuarat Menteri Besar dan Ketua Menteri Ke-138 yang turut dihadiri menteri-menteri berkaitan.

Perdana Menteri berkata, BMTKM adalah sejajar dengan dasar dan strategi baharu untuk membasmi kemiskinan tegar pada Rancangan Malaysia Ke-12 (RMK-12).

Menerusi BMTKM, beliau berkata, kerajaan akan menggunakan beberapa pendekatan seperti menubuhkan Unit Kemiskinan khusus di peringkat Persekutuan, negeri dan daerah.

Selain itu, kerajaan akan mewujudkan pangkalan data kemiskinan yang bersepadu dan berpusat, serta mempertingkat program pendekatan dari bawah ke atas melalui pendekatan keseluruhan negara dan melaksanakan penyelesaian kemiskinan pada peringkat akar umbi," katanya.

Dalam pada itu, Ismail Sabri berkata, melalui mesyuarat sama pihaknya turut memutuskan 11 penyelesaian jangka pendek dan sembilan penyelesaian jangka panjang bagi pengurusan bencana disebabkan cuaca tidak menentu akibat pemanasan global.

Antara penyelesaian jangka pendek diputuskan adalah dengan mendapatkan kerjasama daripada kerajaan negeri untuk memastikan kesiapsiagaan infrastruktur tebatan banjir seperti pam, pintu air dan set generator berada pada tahap optimum .

"Selain itu, kita akan melakukan kerja penyelenggaraan secara mendalam serta membersihkan sistem saliran dan takungan air, menaik taraf 516 stesen siren serta 155 stesen kamera web yang baharu, menaik taraf 100 stesen pencerapan cuaca menggunakan peralatan berteknologi tinggi seperti boleh mengeluarkan ramalan dan amaran cuaca masa nyata dan boleh dipercayai," katanya.

Mengulas langkah penyelesaian untuk jangka panjang dipersetujui dalam mesyuarat berkenaan, Ismail berkata ia termasuklah mengadakan Pembangunan Akta Adaptasi Sektor Air.

"Langkah itu bagi memperkasakan tadbir urus adaptasi perubahan iklim, membuat pendekatan 'penyelesaian berasaskan alam semulajadi' seperti pembinaan denai sungai sebagai platform pembabitan masyarakat.

"Selain itu, kita akan meningkatkan kapasiti takungan air banjir dan memperkasa pelaksanaan pendekatan Pengurusan Lembangan Sungai Bersepadu," katanya.

Beliau berkata, ahli mesyuarat berkenaan juga bersetuju mengadakan lebih banyak sesi libat urus antara Kerajaan Persekutuan dan negeri terutama membabitkan projek pembangunan di negeri.

Berita Harian X