Selasa, 8 March 2022 | 12:08pm

Golongan muda beli 50 peratus rumah PR1MA

KUALA LUMPUR: Sejumlah 50 peratus atau 17,543 pembeli rumah melalui Projek Perumahan 1Malaysia (PR1MA) seluruh negara terdiri golongan muda berusia antara 25 hingga 35 tahun, berdasarkan rekod setakat Disember lalu.

Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan, Datuk Seri Reezal Merican Naina Merican berkata, pada tahun lalu saja sebanyak 34 peratus atau 1,904 pembeli rumah PR1MA terdiri golongan itu.

"Ini membuktikan harga tawaran rumah PR1MA menjadi kegemaran anak muda dan mampu dimiliki golongan berkenaan," katanya menjawab soalan Datuk Mohd Fasiah Mohd Fakeh (BERSATU-Sabak Bernam) pada sesi pertanyaan menteri di Dewan Rakyat hari ini.

Beliau berkata, PR1MA juga akan memperkenalkan inisiatif Youth Home Ownership yang menyasarkan peningkatan pemilikan rumah PR1MA dalam kalangan golongan muda daripada 50.3 peratus kepada 70 peratus menjelang hujung tahun ini.

"Bagi membantu golongan muda memiliki rumah, kementerian merancang menyediakan Rumah Transit Belia (RTB) di beberapa lokasi di Lembah Klang, yang mana harga rumah dan kadar sewa tinggi di kawasan terbabit.

"Dua projek RTB dicadangkan iaitu di Mukim Batu di Kuala Lumpur dan di Rawang, Selangor. Bagi projek RTB Mukim Batu akan dibangunkan 1,400 unit dan bagi RTB Rawang sebanyak 3,000 unit akan dibina," katanya.

Beliau berkata, kementerian juga mengenal pasti isu utama pemilikan rumah mampu milik untuk golongan 25 hingga 35 tahun adalah kesukaran mendapatkan pembiayaan.

Oleh itu, katanya kerajaan melalui kerjasama kementeriannya dan Kementerian Kewangan (MOF) bercadang menganjurkan Program Home Ownership Programme (HOPE) yang memfokuskan empat elemen iaitu Inisiatif Pembiayaan Perumahan Malaysia (IPPM), penyediaan perumahan, program dan promosi.

"Di bawah IPPM, program seperti Skim Rumah Pertamaku (SRP) di bawah Cagamas Berhad, Skim Jaminan Kredit Perumahan di bawah Syarikat Jaminan Kredit Perumahan Berhad (SJKP) dan RTO PR1MA sebaik sahaja dimuktamadkan, akan ditingkatkan dengan kerjasama institusi kewangan terpilih.

"Sasarannya supaya dapat menarik minat pembeli khususnya golongan B40 dan M40 untuk memudahkan pembiayaan bagi memiliki rumah," katanya.

Dalam pada itu, beliau berkata, sehingga kini terdapat 154 projek Projek Perumahan Rakyat (PPR) siap dibina merangkumi 97,196 unit kediaman di seluruh negara.

"Bagi 2022, sebanyak tujuh projek PPR dirancang dibina merangkumi 2,770 unit rumah. Sehingga kini juga, sebanyak 50,078 unit Rumah Mesra Rakyat (RMR) di bawah Syarikat Perumahan Negara Berhad (SPNB) siap dibina di seluruh negara.

"Selain itu, setakat ini terdapat 24,903 unit Perumahan Penjawat Awam Malaysia (PPAM), 27,821 unit perumahan PR1MA dan 28,305 unit kediaman SPNB sudah siap dibina di seluruh negara," katanya.

17,543 pembeli rumah PR1MA di seluruh negara setakat Disember lalu, terdiri daripada golongan muda yang berusia 25 hingga 35 tahun. - Foto hiasan
17,543 pembeli rumah PR1MA di seluruh negara setakat Disember lalu, terdiri daripada golongan muda yang berusia 25 hingga 35 tahun. - Foto hiasan
Berita Harian X