Selasa, 8 March 2022 | 11:04am

2 hari bilangan kes sembuh lebih 30,000

PUTRAJAYA: Bilangan kes sembuh pesakit COVID-19 merekodkan angka lebih 30,000 untuk tempoh dua hari berturut-turut, dengan semalam 30,726 lagi kes pulih daripada jangkitan virus itu.

Ketua Pengarah Kesihatan, Tan Sri Dr Noor Hisham Abdullah berkata, jumlah itu melebihi 26,856 kes baharu penularan COVID-19 yang dicatatkan semalam.

Perkembangan itu menjadikan sehingga kini, sebanyak 3,311,854 individu sudah pulih sepenuhnya daripada virus berkenaan berbanding 3,649,463 individu dijangkiti COVID-19 di negara ini.

Mengulas kes baharu semalam, katanya 26,645 daripada jumlah itu membabitkan penularan tempatan dengan 211 lagi adalah kes import yang mendapat jangkitan dari luar negara.

"Daripada jumlah kes baharu dikesan itu, paling tinggi membabitkan pesakit dalam kategori dua dengan 16,508 kes atau 61.47 peratus, diikuti kategori satu iaitu sebanyak 10,160 kes atau 37.83 peratus dikesan.

"Bagi kategori tiga pula membabitkan 81 kes, kategori empat (57 kes) dan kategori lima (50 kes). Secara keseluruhannya, daripada bagi kategori tiga hingga lima membabitkan 103 kes iaitu 54.79 peratus adalah individu berusia 60 tahun dan ke atas," katanya dalam kenyataan hari ini.

Mengulas pecahan kes dalam kategori tiga hingga lima itu, Dr Noor Hisham memaklumkan sebanyak 83 kes (44.15 peratus) membabitkan pesakit COVID-19 yang mempunyai komorbid.

"Ia diikuti 80 kes daripada individu yang sudah mendapatkan dua dos vaksin, namun belum mendapatkan dos penggalak, tidak divaksin atau belum lengkap vaksin (63 kes), sudah terima dos penggalak (45 kes) dan ibu mengandung (tiga kes)," katanya.

Secara keseluruhannya, daripada jumlah kes aktif di negara ini terdapat 368 kes sedang dirawat di Unit Rawatan Rapi (ICU) dengan 153 disahkan COVID-19 dengan 215 kes pula disyaki, berkemungkinan dan dalam siasatan.

"Bagi yang memerlukan alat bantuan pernafasan, setakat ini terdapat 223 kes meliputi 81 kes disahkan COVID-19 dengan 142 kes lagi disyaki, berkemungkinan dan dalam siasatan," katanya.

Mengenai kluster baharu penularan COVID-19, Dr Noor Hisham memaklumkan semalam pihaknya mengesan lapan kluster baharu, menjadikan sehingga kini 445 kluster masih aktif di negara ini.

Berita Harian X