Isnin, 7 March 2022 | 3:45pm

Mangsa banjir termenung masih di PPS

KOTA BHARU: Banjir di Kelantan hampir pulih apabila hanya satu pusat pemindahan sementara (PPS) saja yang masih dibuka bagi menempatkan 711 mangsa sehingga jam 3 petang semalam.

Dua PPS ditutup pagi semalam iaitu Sekolah Kebangsaan (SK) Kedai Tanjong dan SK Gual Periok selepas 79 mangsa banjir dibenarkan pulang ke rumah masing-masing.

Berdasarkan portal Info Bencana Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM), semua 711 mangsa banjir itu berada di SK Tok Deh di Pasir Mas.

Mereka membabitkan 238 lelaki dewasa, 227 wanita dewasa, 119 kanak-kanak lelaki, 120 kanak-kanak perempuan dan tujuh bayi.

Sementara itu, Ketua Penolong Pengarah JKM Kelantan, Roshayati Omar berkata, mangsa banjir berkenaan masih berada di PPS berikutan beberapa kampung masih mengalami banjir 'termenung'.

Katanya, banjir berkenaan mungkin mengambil masa beberapa hari untuk pulih sebelum semua mangsa dibenarkan pulang.

"Pihak kita akan terus membuat pemantauan terutama memberi bekalan makanan yang sudah masak kepada mangsa berada di PPS.

"Makanan yang sudah masak ini disediakan katering yang dilantik dan mereka menyediakan makanan empat kali sehari kepada semua mangsa," katanya kepada BH, semalam.

Banjir termenung punca penduduk masih ditempatkan di satu PPS di Kelantan. - NSTP/NIK ABDULLAH NIK OMAR
Banjir termenung punca penduduk masih ditempatkan di satu PPS di Kelantan. - NSTP/NIK ABDULLAH NIK OMAR
Berita Harian X