Ahad, 6 March 2022 | 10:35pm
Lebih 150 peserta bergotong-royong membersihkan kawasan balai polis dan rumah akibat bencana banjir baru- baru ini pada Program Gotong-royong di Balai Polis Rantau Panjang, hari ini. - Foto NSTP/Nik Abdullah Nik Omar
Lebih 150 peserta bergotong-royong membersihkan kawasan balai polis dan rumah akibat bencana banjir baru- baru ini pada Program Gotong-royong di Balai Polis Rantau Panjang, hari ini. - Foto NSTP/Nik Abdullah Nik Omar

Hanya 790 masih di tiga PPS Kelantan

KOTA BHARU: Jumlah mangsa banjir di Kelantan terus berkurangan kepada 790 orang daripada 226 keluarga di pusat pemindahan sementara (PPS) malam ini berbanding 1,337 orang daripada 382 keluarga petang tadi.

Berdasarkan portal Info Bencana Jabatan Kebajikan Masyarakat, setakat 8 malam semua mangsa banjir berada di tiga PPS dalam daerah Pasir Mas.

Mereka terdiri daripada 262 lelaki, 255 wanita, 138 kanak-kanak lelaki, 127 kanak-kanak perempuan dan lapan bayi.

Jabatan Pengairan dan Saliran melalui laman sesawangnya pula melaporkan air di semua sungai utama di Kelantan kini berada pada paras biasa.

Sementara itu, polis Kelantan menerima lebih 1,000 laporan kerosakan rumah mangsa akibat bencana banjir yang berlaku sejak 25 Februari lalu.

Timbalan Ketua Polis Kelantan, Datuk Muhammad Zaki Harun, berkata berdasarkan laporan yang diterima, Kampung Tersang di Rantau Panjang adalah kawasan yang paling terjejas akibat bencana itu.

"Jumlah laporan berkemungkinan bertambah susulan keadaan banjir semakin reda dan kebanyakan mangsa sudah pulang ke rumah masing-masing," katanya selepas menghadiri Program Pasca Banjir di Balai Polis Rantau Panjang.

Seramai 150 orang daripada pelbagai agensi seperti Batalion 8 Pasukan Gerakan Am, Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Kelantan, Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM) Kelantan, Jabatan Sukarelawan Malaysia dan penduduk kampung. – BERNAMA

Berita Harian X