Sabtu, 5 March 2022 | 4:33pm
- Foto hiasan - FAIL NSTP
- Foto hiasan - FAIL NSTP

'Seeloknya berpakaian seragam ke sekolah'

PUTRAJAYA: Pelajar digalak memakai seragam sekolah pada sesi baharu persekolahan dijadualkan pada 21 Mac ini.

Menteri Pendidikan. Datuk Dr Radzi Jidin berkata, bagaimanapun bagi pelajar yang tidak mempunyai pakaian seragam berkenaan, mereka boleh memakai pakaian yang sesuai dan sopan untuk ke sekolah.

"Murid digalak memakai pakaian seragam sekolah. Bagaimanapun, kita sedar ada antara anak-anak yang pakaiannya sudah tidak sesuai, maka murid-murid ini kita benarkan hadir ke sekolah dengan pakaian sopan dan sesuai," katanya.

Beliau berkata demikian dalam klip video yang dimuat naik di Facebooknya, hari ini.

Terdahulu, Radzi mengumumkan sesi persekolahan bagi Penggal 1 sesi 2022/2023 akan bermula 21 Mac ini.

Bagaimanapun, pelajar sekolah menengah akan meneruskan sesi Pengajaran dan Pembelajaran di Rumah (PdPR) pada tarikh itu.

Sesi pembelajaran secara bersemuka bagi pelajar sekolah menengah hanya akan dilaksanakan bermula 4 April ini.

Radzi turut menetapkan pelaksanaan ujian saringan COVID-19 bagi murid sekolah rendah di bawah Strategi Pengujian COVID-19 Kebangsaan Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM).

Katanya, ujian dilakukan secara kendiri oleh murid di rumah dengan bimbingan ibu bapa atau penjaga dan mengikut garis panduan disediakan.

"Pihak sekolah akan mengenal pasti murid terbabit dan mengedarkan kit ujian kendiri berserta Slip Pengesahan Pelaksanaan Ujian Kendiri COVID-19 untuk dibawa pulang.

"Keputusan ujian saringan perlu dilaporkan kepada pihak sekolah mengikut garis panduan ditetapkan.

"KPM menyarankan ketetapan pengoperasian pendidikan ini terpakai di semua institusi pendidikan yang tidak berdaftar dengan KPM," katanya.

Berita Harian X