Sabtu, 5 March 2022 | 12:48pm

Cadang perluas MySejahtera untuk pendermaan organ

KUALA LUMPUR: Kementerian Kesihatan (KKM) akan mencadangkan supaya aplikasi MySejahtera yang kini dibangunkan untuk memantau jangkitan COVID-19, ditambah nilai bagi memudahkan urusan pendermaan organ.

Menterinya, Khairy Jamaluddin berkata, cadangan itu memandangkan situasi pendermaan organ di negara ini sangat rendah dan menyebabkan rawatan pembedahan transplan organ khususnya bagi pesakit buah pinggang peringkat akhir (ESKD) sukar dilakukan.

"Jumlah mereka bersetuju menderma organ hari ini semakin berkurangan dan kita mungkin akan menggunakan aplikasi MySejahtera untuk memudahkan rakyat Malaysia (menderma)," katanya ketika melancarkan Persidangan Tahunan Dialisis, di sini hari ini.

Yang turut hadir Pengerusi Yayasan Buah Pinggang Kebangsaan (NKF), Datuk Dr Zaki Morad.

Khairy berkata, negara hari ini berdepan peningkatan pesakit buah pinggang kronik dan ramai pesakit hari ini terpaksa bergantung kepada rawatan dialisis.

"Kita lakukan unjuran pada 2016 ada lebih kurang 40,000 pesakit buah pinggang memerlukan dialisis, namun jika trend ini tidak dapat dikurangkan pada 2040 mungkin 100,000 terpaksa bergantung kepada dialisis.

"Selain dialisis, langkah pencegahan perlu dilakukan seperti pemeriksaan kesihatan yang dibuat secara berkala dan juga pilihan pembedahan transplan. Namun jumlah mereka yang setuju memberi organ semakin kurang," katanya.

Beliau berkata, KKM akan mempergiatkan usaha saringan kesihatan menerusi Skim Peduli Kesihatan Untuk Kumpulan B40 (PeKa B40) yang kini tidak mendapat sambutan masyarakat.

"Seramai lima juta yang layak dalam saringan kesihatan PeKa B40, tetapi jumlah yang memanfaatkannya kecil iaitu kurang 12 peratus sahaja.

"Jadi pada Julai ini iaitu Bulan Saringan Kesihatan, kita akan cuba seramai mungkin untuk menjalani saringan berkenaan," katanya.

Beliau berkata, KKM hari ini dalam fasa peralihan untuk memastikan setiap pusat rawatan serta hospital negara bukan sahaja memberi tumpuan kepada rawatan COVID-19, malah terhadap penyakit lain juga.

"Dua tahun kebelakangan ini sistem kesihatan kita memberi tumpuan untuk menguruskan jangkitan COVID-19, sehingga satu ketika ketika kemuncak jangkitan varian Delta sistem kesihatan awam kita lumpuh dan tidak cukup katil malah unit rawatan rapi (ICU) juga dalam tekanan.

"Sekarang, situasi berada dalam kawalan walaupun angka jangkitan harian masih tinggi. Namun yang penting adalah kapasiti ICU dan kadar kuarantin di rumah sahaja. Ini adalah sesuatu yang kita perlu untuk hidup dengan COVID-19," katanya.

GAMBAR hiasan
GAMBAR hiasan
Berita Harian X