Jumaat, 4 March 2022 | 6:02pm

3 projek perumahan mampu milik untuk rakyat Johor

JOHOR BAHRU: Perbadanan PR1MA Malaysia (PR1MA) menawarkan tiga lagi projek perumahan mampu milik untuk rakyat Johor.

Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan, Datuk Seri Reezal Merican Naina Merican, berkata ketika ini satu daripada projek berkenaan iaitu Residensi Larkin Indah sudah mencapai 90 peratus pembinaan dan akan siap sepenuhnya pada Mei tahun depan.

"Selain Residensi Larkin Indah, Insya-Allah, kita akan laksanakan dua lagi projek iaitu Residensi Kota Tinggi dan Residensi Pelangi Indah.

"Keseluruhannya kita akan menyediakan 4,479 unit kediaman untuk orang Johor," katanya pada Majlis Penyerahan Surat Tawaran Pembeli Residensi Larkin Indah yang disempurnakan Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob, hari ini.

Yang turut hadir, Menteri Besar, Datuk Seri Hasni Mohammad dan Pengerusi PR1MA, Datuk Dr Fathul Bari Mat Jahya.

Reezal Merican berkata, pelaksanaan projek itu juga selari dengan sasaran kerajaan mencapai matlamat membina 500,000 unit rumah mampu milik di seluruh negara dalam Rancangan Malaysia Ke-12 (RMK-12).

"Kita tetapkan sasaran kita 1Keluarga, 1Rumah. Dalam soal rumah mampu milik ini, kita mahu menekankan konsep 5K iaitu Ketersediaan (availability), Kemampuan (affordability), Kemudahan pembiayaan (accessibility), Kualiti (quality) dan Kediaman berdaya huni (liveability).

"Kerjasama Syarikat Jaminan Kredit Perumahan Berhad (SJKP) bersama PR1MA ialah selari dengan Aspirasi Keluarga Malaysia dan Kempen Pemilikan Rumah (HOPE) oleh kementerian ini," katanya.

Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan Datuk Seri Reezal Merican Naina Merican. - Foto Bernama
Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan Datuk Seri Reezal Merican Naina Merican. - Foto Bernama
Berita Harian X