Khamis, 3 March 2022 | 1:19pm
Tanah sawah antara harta pusaka. - Foto hiasan BERNAMA
Tanah sawah antara harta pusaka. - Foto hiasan BERNAMA

Lebih 72,000 pembahagian harta pusaka tertunggak

KUALA LUMPUR: Jumlah kes tunggakan pembahagian harta pusaka terkini ialah 72,348, kata Menteri Tenaga dan Sumber, Datuk Seri Takiyuddin Hasan.

Daripada jumlah itu, beliau berkata, kes tunggakan tertinggi dicatatkan di Kedah dengan 13,423 kes diikuti Selangor (10,358) dan Kelantan (7,414).

"Bagi menyelesaikan masalah beberapa tindakan segera sudah diambil termasuk menggerakkan Pasukan Petugas Khas di bawah waran perjawatan Jabatan Ketua Pengarah Tanah dan Galian, bagi membantu perbicaraan kes pusaka dengan kerjasama daripada kerajaan negeri," katanya di Dewan Rakyat.

Beliau menjawab soalan lisan Sabri Azit (PN- Jerai) yang meminta statistik kes tunggakan pembahagian pusaka mengikut negeri dan langkah segera menyelesaikan masalah itu.

Takiyuddin menjelaskan, kementerian juga melaksanakan Klinik Penyelesaian Tunggakan Kes Pusaka yang sudah dimulakan di Kedah pada 14 Februari lalu.

Katanya, kementerian juga mengemuka permohonan khusus kepada pihak Jabatan Perkhidmatan Awam (JPA) dan Kementerian Kewangan, bagi permohonan lantikan kakitangan secara kontrak.

Sementara itu, menjawab soalan Sabri mengenai kekeliruan rakyat dalam menuntut harta pusaka, Takiyuddin berkata, tidak timbul isu kekeliruan kerana pindaan Akta Pembahagian Harta Pusaka Kecil 1998 sudah pun membahagikan tanggungjawab agensi mengikut beberapa kategori.

Katanya, dengan pindaan itu kes semua kes tuntutan harta pusaka bukan Islam bernilai RM5 juta terletak di bawah bidang kuasa Mahkamah Tinggi Sivil, manakala Jabatan Ketua Pengarah Tanah dan Galian bagi pengurusan harta tidak alih dan boleh alih bernilai tidak melebihi RM5 juta.

"Amanah Raya Berhad pula menangani kes tuntutan pusaka bagi harta bernilai kurang daripada RM600,000," katanya

Beliau berkata, pada 2021, sebanyak 43,519 kes tuntutan berjaya diuruskan membabitkan nilai harta RM11.2 bilion dan kerajaan mengutip fi RM14.5 juta sebagai pendapatan kerajaan.

"Dengan pindaan akta itu, urusan pembahagian harta pusaka tempoh penyelesaian kes diselesaikan dengan lebih cepat dan keberkesaan sistem penyampaian menjadi lebih optimum serta memperkemas pengurusan harta pusaka," katanya.

Menjawab soalan tambahan Mohamed Hanipa Maidin mengenai kerumitan penyeelsaian kes tuntutan pusaka apabila ada perkahwinan campur di antara orang bukan Islam dan Islam, termasuk penama Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP), Takiyuddin menjelaskan perkara itu dalam pertimbangan kementerian untuk diselesaikan.

"Secara umum pembahagian pusaka bagi orang beragama Islam dan bukan Islam, masing-masing diuruskan agensi mengikut bidang kuasa masing-masing,

"Untuk orang Islam di bawah Mahkamah Syariah dan bagi kes tuntutan harta orang waris bukan beragama Islam, bagi mereka yang sudah menukar agama atau sebaliknya, ada sistem perundangan tersendiri menyelesaikan perkara ini," katanya

Menjawab satu lagi soalan tambahan Cha Kee Chin (PH-Rasah)mengenai perbicaraan secara dalam talian, beliau berkata, perkara itu memang sudah dilaksanakan.

"Pelbagai tindakan sudah diambil kementerian bagi menyelesaikan kes tuntutan harta pusaka yang tertunggak ini.

"Seperti di Kedah kes yang paling banyak tertangguh, saya sendiri dan Menteri Besar Kedah menghadiri Klinik Penyelesaian Tunggakan dan bersetuju balai penghulu dijadikan tempat perbicaraan kes pusaka," katanya

Berita Harian X