Rabu, 2 March 2022 | 3:07pm
Menteri Alam Sekitar dan Air, Datuk Seri Tuan Ibrahim Tuan Man melawat Pintu Kawalan Air Pasang Surut di Kampung Gong Kulim, di Pasir Puteh, hari ini. - Foto BERNAMA
Menteri Alam Sekitar dan Air, Datuk Seri Tuan Ibrahim Tuan Man melawat Pintu Kawalan Air Pasang Surut di Kampung Gong Kulim, di Pasir Puteh, hari ini. - Foto BERNAMA

Pembinaan LRA Pasir Puteh masih dalam kajian

PASIR PUTEH: Kementerian Alam Sekitar dan Air (KASA) perlu menilai kesesuaian tapak sebelum meluluskan cadangan pembinaan Loji Rawatan Air (LRA) Pair Puteh, di sini.

Penilaian juga dilakukan berhubung kesan kemasukan air masin dan keupayaan loji menampung keperluan semasa seperti ketika waktu tuaian padi.

Menterinya, Datuk Tuan Ibrahim Tuan Man, berkata pihaknya perlu menjalankan kajian terperinci berkenaan tiga komponen besar itu terlebih dahulu sebelum meneruskan projek pembinaan LRA itu.

Beliau berkata, LRA itu dijadual menyediakan 30 juta per liter sehari keperluan air terawat dan menampung keperluan tiga kawasan besar di Bachok, Pasir Puteh dan Pelabuhan Tok Bali.

"Kita memerlukan masa beberapa bulan lagi sebelum meluluskan projek ini," katanya selepas membuat tinjauan di pintu kawalan air pasang surut Gong Kulim, di sini.

Hadir sama, Pengarah Jabatan Pembangunan Pertanian Kemasin-Semerak (AIDA), Rohani Jusoh dan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Semerak, Wan Hassan Wan Ibrahim.

Tuan Ibrahim berkata, ketika ini, Pelabuhan Tok Bali mendapatkan bekalan air dari Terengganu dengan paras bekalan 0.5 juta per liter sehari.

Katanya, unjuran awal mendapati pelabuhan itu memerlukan 10 juta liter air sehari pada masa akan datang.

Terdahulu, dalam lawatan itu, beliau meninjau keadaan 10 pintu kawalan pasang surut yang dipercayai hanya tiga berfungsi ketika ini.

Keadaan itu tular di laman sosial yang mengaitkan kerosakan pintu kawalan sebagai penyebab petani di Pasir Puteh kerugian apabila padi mereka ditenggelami banjir, baru-baru ini.

Tuan Ibrahim berkata, AIDA sudah membuat permohonan membaiki pintu kawalan itu daripada Kementerian Pertanian dan Industri Makanan (MAFI), dengan peruntukkan RM10 juta.

Berita Harian X