Rabu, 2 March 2022 | 1:24pm

'Ikrar PN Untuk Johor' fokus lapan tunjang utama

JOHOR BAHRU: Pengerusi Perikatan Nasional (PN), Tan Sri Muhyiddin Yassin hari ini melancarkan Ikrar PN Untuk Johor, manifesto gabungan itu untuk Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor dengan slogan 'Demi Bangsa Johor'.

Muhyiddin berkata, PN menyediakan Ikrar berteraskan lapan tunjang utama, berpacukan 24 strategi dan berlandaskan 145 pendekatan.

Muhyiddin yang juga Presiden BERSATU berkata, lapan tunjang utama yang menjadi fokus PN itu ialah kepemimpinan berintegriti dan bebas, keutuhan ekonomi Johor, keutamaan tangani kos sara hidup, keprihatinan kepada rakyat, kesejahteraan sosial, kecekapan infrastruktur, merancakkan sektor pelancongan dan kelestarian alam sekitar.

Sehubungan itu, katanya, Ikrar yang ditawarkan itu bukan retorik semata-mata, sebaliknya komitmen realistik dan praktikal bahawa kerajaan negeri yang bakal dibentuk kelak adalah bersih, cekap dan prihatin rakyat.

"Pentadbiran kerajaan negeri yang bersih dan cekap mestilah ditunjangi oleh kepemimpinan yang berintegriti dan bebas rasuah.

"Oleh itu, PN akan membentuk kerajaan yang sentiasa mendukung pemimpin berintegriti, bebas rasuah dan menolak penyalahgunaan kuasa.

"Selain itu, kecekapan penyampaian perkhidmatan kerajaan negeri juga akan dipertingkatkan melalui pemerkasaan tadbir urus agensi dan syarikat milik kerajaan negeri.

"Ini merangkumi usaha menyusun semula syarikat bagi mengoptimumkan penjanaan keuntungan dan mengoptimumkan pendigitalan perkhidmatan awam negeri, termasuk pihak berkuasa tempatan (PBT)," katanya.

Pengerusi PN yang juga Presiden BERSATU, Tan Sri Muhyiddin Yassin, ketika melancarkan Ikrar Perikatan Nasional Demi Bangsa Johor di Johor Bahru, hari ini. Turut kelihatan, Naib Presiden BERSATU, Datuk Dr Radzi Jidin (kiri), Presiden GERAKAN, Datuk Dr Dominic Lau Hoe Chai (empat, kanan), Pengerusi PN Perak, Datuk Seri Ahmad Faizal Azumu (tiga, kanan) dan Ketua SRIKANDI BERSATU, Datuk Seri Rina Mohd Harun (dua, kanan). - Foto BERNAMA

Berita Harian X