Rabu, 2 March 2022 | 8:38am

Tak sempat kutip hasil, 5,000 pokok jagung

KUALA KRAI: "Saya terduduk selepas melihat kawasan kebun jagung yang sebelum ini menghijau bertukar menjadi tasik selepas ditenggelami air banjir pada Jumaat lalu," kata warga emas, Idris Hassan, 65.

Idris berkata, hujan lebat berterusan pada minggu lalu menyebabkan paras air Sungai Pahi meningkat naik secara mendadak sehingga menyebabkan keseluruhan tanaman jagungnya yang ditanam di pinggir sungai mengalami kemusnahan.

Katanya, pada pagi Jumaat lalu, tanaman jagung yang ditanam di atas tanah seluas 1.2 hektar diusahakan bersama adik-beradiknya ditenggelami air banjir separas dua meter.

"Bagaimanapun, pada petang itu air sudah surut, namun pada waktu malam, hujan kembali lebat dan sekali lagi tanaman jagung ditenggelami dan paras air pada kali ini lebih tinggi separas tiga meter.

"Kesemua 5,000 pohon jagung yang ditenggelami banjir sepatutnya sudah boleh dituai pada bulan hadapan, namun saya hanya berputih mata apabila ia musnah sekelip mata mengakibatkan kerugian sehingga RM50,000," katanya ketika ditemui di kebun jagungnya di Kampung Temalir Lama, di sini, semalam.

Idris berkata, banyak kerugian yang dialaminya dan berharap kerajaan dapat menghulurkan bantuan bagi meringankan beban selain membolehkannya menanam semula tanaman selepas musim tengkujuh.

"Saya memerlukan modal untuk memulakan semula tanaman dan kebiasaannya sebahagian hasil diperoleh daripada jualan jagung akan dibuat modal, tetapi akibat kejadian ini, saya memerlukan bantuan.

"Sepatutnya saya mampu meraih hasil jualan jagung sebanyak RM10,000 sebaik ia dituai pada bulan hadapan selepas dijual kepada pemborong dan penduduk di sekitar Kuala Krai, namun ia tidak menjadi kenyataan apabila semua pokok ditanam musnah ditenggelami banjir," katanya.

Bapa kepada lapan anak berusia di antara 15 hingga 40 tahun ini berkata, dia mengusahakan kebun jagung itu sejak 20 tahun lalu dan sepanjang tempoh itu, ini kali pertama kebunnya ditenggelami air pada musim tengkujuh.

"Kebiasaannya saya akan mula menanam anak benih jagung di antara bulan Mac atau April dan hasilnya dapat dituai selepas mencapai tempoh matang iaitu selama dua bulan setengah.

"Namun pada kali ini ia ditanam lebih awal berbanding biasa dan tidak menyangka lain pula yang jadinya. Paling pelik banjir pada bulan Februari adalah di luar jangka.

"Saya berasa sedih apabila melihat pokok jagung yang ditanam pada awal Januari lalu mati dan kesemuanya sudah mencapai tempoh matang.

"Bagaimanapun, saya perlu reda kerana kesemua pokok jagung ini mati disebabkan bencana alam dan menganggap apa yang berlaku adalah ujian daripada Allah SWT," katanya.

Idris Hassan melihat kebun jagung miliknya yang musnah ditenggelami banjir di Kampung Temalir Lama. - NSTP/Hazira Ahmad Zaidi
Idris Hassan melihat kebun jagung miliknya yang musnah ditenggelami banjir di Kampung Temalir Lama. - NSTP/Hazira Ahmad Zaidi
Berita Harian X