Selasa, 1 March 2022 | 4:35pm

Malaysia tutup pejabat perwakilan di Kyiv sejak Khamis lalu

PUTRAJAYA: Malaysia menutup sementara pejabat perwakilan di Kyiv, Ukraine susulan serangan Russia ke atas negara itu, sejak Khamis lalu.

Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berkata, ketika ini semua rakyat Malaysia yang berdaftar dengan kedutaan sudah pun meninggalkan negara bergolak itu.

Bagaimanapun, katanya tiada maklumat mengenai rakyat Malaysia di negara bergolak itu yang tidak berdaftar.

"Rakyat kita yang berada di Ukraine dan berdaftar, setakat hari ini semuanya dah keluar dan tiada yang tinggal...kecuali yang tidak berdaftar, kita tidak tahu," katanya.

Beliau berkata demikian selepas bertemu tujuh rakyat Malaysia dari Ukraine yang selamat tiba di tanah air petang tadi, selepas meninggalkan negara bergolak itu Sabtu lalu.

Mereka membabitkan pegawai Kedutaan Besar Malaysia di Ukraine serta keluarga, selain dua ekspatriat dan seorang pelajar.

Mengenai nasib rakyat Malaysia di Ukraine yang tidak berdaftar dengan pejabat perwakilan, Ismail Sabri berkata, pihaknya sudah berbincang dengan pejabat kedutaan di Warsaw supaya mereka terbabit menghubungi Kedutaan Besar Malaysia di Poland untuk mendapatkan bantuan.

Beliau berkata, pejabat perwakilan di Warsaw akan membantu mereka.

"Saya menyeru rakyat kita yang tidak berdaftar tetapi berada di Ukraine, sila hubungi pejabat kita di Poland," katanya.

Sebelum ini, Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob, dilaporkan berkata, terdapat 23 rakyat Malaysia di Ukraine termasuk 12 sudah meninggalkan negara itu, manakala bakinya sedang dalam perjalanan untuk keluar.

Perdana Menteri bertemu Kuasa Usaha Sementara Kedutaan Besar Malaysia di Ukraine Fadhilah Daud (tiga dari kanan) dan sebahagian lagi rakyat Malaysia yang tiba di KLIA dari Kyiv, Ukraine hari ini. - Foto BERNAMA
Perdana Menteri bertemu Kuasa Usaha Sementara Kedutaan Besar Malaysia di Ukraine Fadhilah Daud (tiga dari kanan) dan sebahagian lagi rakyat Malaysia yang tiba di KLIA dari Kyiv, Ukraine hari ini. - Foto BERNAMA
Berita Harian X