Selasa, 1 March 2022 | 2:22pm
Pelaburan diluluskan dalam sektor perkilangan, perkhidmatan dan utama melonjak 51.5 peratus antara Januari hingga September 2021. - FOTO NSTP/ MIKAIL ONG
Pelaburan diluluskan dalam sektor perkilangan, perkhidmatan dan utama melonjak 51.5 peratus antara Januari hingga September 2021. - FOTO NSTP/ MIKAIL ONG

Pelaburan langsung Malaysia di luar negara RM39.3 bilion

KUALA LUMPUR: Malaysia merekodkan nilai pelaburan asing di luar negara berjumlah RM39.3 bilion antara tempoh Januari hingga September tahun lalu.

Timbalan Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri, Datuk Lim Ban Hong berkata, angka berdasarkan Jabatan Perangkaan dan Bank Negara Malaysia itu, sekali gus mencerminkan daya saing syarikat tempatan di luar negara.

Ia membabitkan pelbagai sektor termasuk aktiviti kewangan dan insurans atau takaful dengan nilai RM11.6 bilion, diikuti perlombongan dan pengkuarian (termasuk minyak dan gas asli) (RM9.01 bilion); pembuatan (RM7.6 bilion) serta pembinaan (RM1.3 bilion).

"Jumlah keseluruhan pelaburan diluluskan dalam sektor perkilangan, perkhidmatan dan utama melonjak 51.5 peratus antara Januari hingga September 2021, berbanding jumlah pelaburan diluluskan dalam tempoh sama pada 2020.

"Pelaburan ini membabitkan 3,037 projek dan dijangka menjana sejumlah 79,899 peluang pekerjaan baharu," katanya pada sesi lisan di Dewan Rakyat hari ini.

Beliau menjawab soalan Datuk Rozman Isli (WARISAN-Labuan) mengenai kedudukan terkini pelaburan Malaysia di luar negara, pelaburan asing ke Malaysia, jumlah dan jenis pelaburan.

Ban Hong berkata, pelaburan asing dari negara seperti Singapura, China, Austria, Jepun dan Belanda yang direkodkan bernilai RM106.1 bilion adalah penyumbang utama keseluruhan pelaburan diluluskan bagi tempoh berkenaan.

"Sebanyak RM91.7 bilion atau 86.4 peratus daripada keseluruhan jumlah pelaburan asing adalah dari sektor perkilangan, diikuti perkhidmatan (RM10.9 bilion atau 10.3 peratus) dan sektor utama (RM3.5 bilion atau 3.3 peratus)," katanya.

Sementara itu, beliau berkata, kerajaan mengulangi tekad memastikan pelaksanaan dasar pelaburan terbuka, telus, konsisten dan mesra perniagaan supaya terus berjaya menarik minat syarikat untuk terus melabur.

Pada dasarnya, beliau berkata, inisiatif lain untuk menarik pelaburan berkualiti dan bernilai tinggi sentiasa giat dilaksanakan kerajaan bagi memberi faedah serta kesan langsung ke atas pembangunan sosio-ekonomi secara menyeluruh.

Katanya, ia termasuk memperkenal dasar pelaburan baharu berdasarkan Aspirasi Pelaburan Nasional (NIA), menyasarkan pelaburan berkualiti tinggi berintensifkan modal dan teknologi, berteraskan elemen alam sekitar, sosial dan tadbir urus (ESG).

"Pembaharuan agenda pelaburan ini membabitkan lima teras utama iaitu, meningkatkan economic complexity (kerumitan ekonomi), mewujudkan pekerjaan bernilai tinggi, memperluas rangkaian domestik, membangunkan kluster baharu dan sedia ada, serta mempertingkatkan keterangkuman.

"Meratifikasi Perjanjian Kerjasama Ekonomi Komprehensif Serantau (RCEP) yang dijangka berupaya mempertingkat pelaburan dari negara ahli, selain menjana pasaran eksport bagi produk tempatan dengan lebih meluas.

"Memberi fasilitasi berterusan dan menyeluruh kepada pelabur melalui pusat sehenti (OSC) di MIDA (Lembaga Pembangunan Pelaburan Malaysia) bagi menilai permohonan pelawat perniagaan layak untuk memasuki Malaysia bagi tujuan perdagangan dan pelaburan," katanya.

Ban Hong berkata, kementerian juga mewujudkan Unit Percepatan dan Koordinasi Projek (PACU) yang juga kendalian MIDA bagi memudahcarakan pelaksanaan projek pelaburan dalam tempoh ditetapkan pelabur.

"Memperkenal inisiatif E-10 (Permit Pembinaan Ekspres) oleh Perbadanan Produktiviti Malaysia (MPC), membabitkan kolaborasi rapat antara Kerajaan Persekutuan, kerajaan negeri dan pihak berkuasa tempatan bagi mengurangkan tempoh masa perancangan serta kelulusan pelaksanaan sesuatu projek pengilangan," katanya.

Berita Harian X