Selasa, 1 March 2022 | 1:32pm
 Foto fail NSTP
Foto fail NSTP

Pelaksanaan RFID selaras hasrat perkenal MLFF

KUALA LUMPUR: Pelaksanaan teknologi Identifikasi Frekuensi Radio (RFID) RFID selaras hasrat Kementerian Kerja Raya untuk memperkenal sistem kutipan tol tanpa henti yang dikenali sebagai Aliran Bebas Pelbagai Lorong (MLFF).

Sistem MLFF akan menggunakan pendekatan teknologi RFID dan dijangka dilaksanakan sepenuhnya menjelang 2025.

Menteri Kanan Kerja Raya, Datuk Seri Fadillah Yusof, berkata pelbagai kajian, sesi libat urus dan dialog diadakan bersama pemegang taruh dalam usaha menerajui inisiatif memperkenal sistem kutipan tol di lebuh raya secara elektronik sepenuhnya.

"Ini bagi mendapatkan maklum balas serta mencadangkan penyelesaian terbaik berhubung kaedah atau teknologi akan diguna pakai.

"Kementerian juga meneliti kaedah sistem tol tanpa palang seperti sistem Bayaran Elektronik Jalan Raya (ERP) yang diguna pakai di Singapura.

"Namun, kekangan kos dan pelaksanaan model perniagaan akan membebankan rakyat, menyebabkan sistem ini tidak dilaksanakan di Malaysia," katanya pada sesi soal jawab lisan di Dewan Rakyat hari ini.

Beliau menjawab soalan Datuk Mohd Fasiah Mohd Fakeh (BERSATU-Sabak Bernam) mengenai pelaksanaan kemudahan pembayaran tol menggunakan teknologi RFID di semua tol tertutup dan keberkesanannya mengatasi masalah kesesakan di plaza tol.

Kutipan tol secara RFID sudah dilaksanakan di 28 lebuh raya dan baki dua lebuh raya iaitu Lebuhraya Pantai Timur Fasa 1 (LPT1) dan LPT2 dijangka dilaksanakan mulai penghujung Jun depan.

Fadillah berkata, pemilihan teknologi RFID berbanding 'Infrared' yang digunakan bagi peranti SmartTag adalah pilihan sesuai kerana ia menggunakan gelombang radio dengan had pengesanan lebih luas serta kos lebih rendah.

"Berbanding SmartTag yang menggunakan teknologi Infrared, teknologi ini masih belum terbukti keberkesanannya dalam pelaksanaan MLFF berbanding teknologi RFID yang telah diguna pakai secara meluas kebanyakan negara maju yang telah melaksanakan sistem kutipan tol secara MLFF.

"Merujuk harga jualan semasa bagi tag RFID adalah bernilai RM35, merangkumi kos tag RFID, pemasangan, sistem dan pengoperasian. Bagaimanapun, kerajaan telah meminta supaya TNG Sdn Bhd (TNGSB) mengkaji semula kos berkenaan, bertujuan mengurangkan harga jualan tag.

"TNGSB adalah penyedia perkhidmatan bagi sistem kutipan tol di semua lebuh raya di Malaysia, yang mana urusan pelantikan kontraktor atau pembekal tag RFID diuruskan sepenuhnya mereka," katanya.

Menafikan pengenalan RFID sebagai perancangan drastik, beliau berkata, ia sebaliknya dilaksanakan melalui projek rintis RFID membabitkan plaza tol sistem terbuka di Lembah Klang sejak 2017.

Pelaksanaan projek rintis RFID bagi Lebuhraya PLUS pula pada peringkat awal mulai 1 Januari 2020 membabitkan 10 plaza tol sistem terbuka merangkumi plaza tol antaranya di Jambatan Pulau Pinang, LINKEDUA dan Butterworth-Kulim Expressway.

"Seterusnya, Ujian Rintis Awam RFID bagi kenderaan Kelas 1 dilaksanakan membabitkan sembilan plaza tol sistem tertutup, disiapkan pada Oktober lalu.

"Lanjutan projek rintis dilaksanakan PLUS, pelaksanaan RFID dilancarkan pada 15 Januari lalu. Kementerian mengambil maklum reaksi negatif pengguna lebuh raya berikutan pelaksanaan RFID di Lebuhraya Utara-Selatan," katanya.

Mengulas lanjut, beliau berkata, PLUS (M) Berhad selaku syarikat konsesi bertanggungjawab ke atas lebuh raya dengan 83 plaza tol amat peka dan perihatin terhadap isu operasi dibangkitkan pengguna.

Sehubungan itu, katanya, PLUS sudah melaksanakan beberapa tindakan jangka pendek, bertujuan penambahbaikan dan memastikan keselesaan pengguna khususnya kutipan tol bagi sistem tol tertutup.

"Menempatkan petugas tol di plaza tol bagi membantu pengguna lebuh raya yang menghadapi masalah pengesanan di lorong RFID dan mengekalkan lorong Touch 'n Go dan SmartTag sedia ada sebagai pilihan kepada pengguna.

"Mengadakan program kesedaran berterusan bagi memastikan isu dihadapi pengguna diselesaikan dan kecekapan sistem pengurusan tol dapat dipertingkat," katanya.

Berita Harian X