Isnin, 28 Februari 2022 | 3:29pm

Agong pandang serius isu rasuah

KUALA LUMPUR: Yang di-Pertuan Agong, Al-Sultan Ri'ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah memandang serius isu rasuah yang berlaku di negara ini.

Namun, baginda percaya kerajaan sedang melaksanakan dasar dan inisiatif Pelan Antirasuah Nasional menerusi tindakan penguatkuasaan, pencegahan dan pendidikan bagi membanteras segala bentuk jenayah rasuah.

"Kerajaan juga sedang menambah baik sistem penyampaian perkhidmatan kerajaan melalui inisiatif Kerajaan Digital secara 'end-to end' supaya lebih telus, cekap dan profesional," titah baginda ketika merasmikan Mesyuarat Pertama Penggal Kelima Parlimen Ke-14, hari ini.

Baginda turut menzahirkan penghargaan atas taat setia dan sumbangan ikhlas semua petugas barisan hadapan negara, anggota perkhidmatan awam, Angkatan Tentera Malaysia (ATM), Polis Diraja Malaysia (PDRM) serta agensi kerajaan yang mencurahkan khidmat bakti sehingga menjadikan Malaysia negara aman dan makmur.

Titah baginda, sumbangan mereka amat ah besar dan melepasi bidang tugas utama masing-masing.

"Semoga semua penjawat awam terus komited, berdedikasi dan fokus untuk sentiasa menambah baik kualiti perkhidmatan demi kesejahteraan rakyat," titah baginda.

Pada masa sama, baginda menegaskan kebajikan anggota perkhidmatan awam perlu terus dibela dari segi kesihatan, pendidikan, perumahan dan bantuan kebajikan merangkumi anggota yang sedang berkhidmat atau yang bersara termasuk veteran ATM.

 Gambar hiasan
Gambar hiasan
Berita Harian X