Isnin, 28 Februari 2022 | 1:21pm

"Rujuk AGC semua persoalan berkaitan Tommy Thomas" - Ayob Khan

KUALA LUMPUR: Semua persoalan berbangkit berhubung dakwaan Tan Sri Tommy Thomas, menerima rasuah dalam mengendalikan kes anak tokoh perniagaan yang ditahan atas kesalahan dadah ketika memegang jawatan Peguam Negara, perlu dirujuk kepada Jabatan Peguam Negara (AGC).

Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik (JSJN) Bukit Aman, Datuk Ayob Khan Mydin Pitchay, berkata polis sudah selesai menyiasat perkara itu pada Disember 2019 dan keputusan untuk mendakwa suspek mengikut seksyen berkaitan tertakluk kepada arahan daripada AGC.

"Polis hanya jalankan siasatan dan hantar kertas siasatan itu kepada AGC. Mereka akan menentukan, sama ada nak tuduh atau sebaliknya.

"Setakat ini, kita tidak menerima laporan baharu membabitkan dakwaan berkenaan," katanya pada sidang media di Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Kuala Lumpur, hari ini.

Sebelum ini, Tommy membidas dakwaan pengendali akuan Twitter atas nama Edisi Khas, kononnya beliau menerima rasuah ketika mengendalikan kes terbabit.

Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik PDRM, Datuk Ayob Khan Mydin Pitchay. - NSTP/Rohanis Shukri
Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik PDRM, Datuk Ayob Khan Mydin Pitchay. - NSTP/Rohanis Shukri

Bekas peguam negara itu menjelaskan, seperti kelaziman dalam hal jenayah, peguam kepada tertuduh menghantar representasi bertulis kepada AGC bagi mempertimbang keputusan untuk membuat pertuduhan dan ia dibawa kepada perhatian beliau.

Selepas mengkaji representasi dan kertas siasatan (IP), menyemak peruntukan undang-undang berkaitan dan berbincang dengan semua Timbalan Pendakwa Raya, Tommy memutuskan untuk mengurangkan pertuduhan.

Penerimaan representasi daripada peguam dan tertuduh serta mengurangkan atau menggugurkan pertuduhan selepas itu, adalah perkara biasa di Jabatan Peguam Negara.

Sebelum ini, pengendali akaun Twitter itu mendakwa, Tommy ketika bertugas sebagai peguam negara, menutup kes anak taikun terbabit yang ditahan pada 2019 kerana dikatakan memiliki dadah dalam kuantiti yang banyak dan didakwa mengikut Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya.

Ayob Khan (dua dari kanan) menunjukkan dadah yang dirampas pada sidang media mengenai Op Tapis Siri 2, Sasaran FELDA dan PPRT serta kes jayaan rampasan dadah syabu di IPK Kuala Lumpur. - NSTP/Rohanis Shukri
Ayob Khan (dua dari kanan) menunjukkan dadah yang dirampas pada sidang media mengenai Op Tapis Siri 2, Sasaran FELDA dan PPRT serta kes jayaan rampasan dadah syabu di IPK Kuala Lumpur. - NSTP/Rohanis Shukri
Berita Harian X