Ahad, 27 Februari 2022 | 7:08pm
Bendera parti bertanding PRN Johor di Jambatan Sungai Terap, Muar. - NSTP/Hairul Anuar Rahim
Bendera parti bertanding PRN Johor di Jambatan Sungai Terap, Muar. - NSTP/Hairul Anuar Rahim

PRN Johor: COMWEL harap pengundi beri peluang calon wanita

KUALA LUMPUR: Pengundi Johor diharap memberi peluang kepada calon wanita untuk mewakili mereka dalam Dewan Undangan Negeri (DUN) dengan mandat pada Pilihan Raya Negeri (PRN), 12 Mac nanti.

Presiden dan Pengasas Majlis Pimpinan Politik Wanita Malaysia (COMWEL), Datuk Zuraida Kamaruddin, berkata PRN Johor menyaksikan 15.5 peratus jumlah calon yang bertanding adalah wanita, iaitu 37 daripada 239 keseluruhan calon bertanding.

"Walaupun jumlah calon wanita hanya 15.5 peratus, saya berharap pengundi akan memberi peluang kepada mereka untuk menang di kawasan yang ditandingi. Jika wakil rakyat wanita, pasti mereka akan membawa isu berkaitan wanita dan keluarga untuk dibincang semasa persidangan DUN dan juga untuk penggubalan dasar berkaitan.

"Namun untuk mencapai 30 peratus wanita dalam DUN, sekurang-kurangnya 17 calon berkenaan perlu menang," katanya yang juga Menteri Perusahaan Perladangan dan Komoditi dalam satu kenyataan, hari ini.

Beliau turut mengucapkan tahniah kepada Barisan Nasional (BN) yang mencalonkan jumlah calon wanita tertinggi, iaitu 14 orang berbanding parti lain.

Bendera parti bertanding PRN Johor di Jambatan Sungai Terap, Muar. - NSTP/Hairul Anuar Rahim
Bendera parti bertanding PRN Johor di Jambatan Sungai Terap, Muar. - NSTP/Hairul Anuar Rahim

"Bagi parti-parti yang tidak mempunyai ramai calon wanita, saya harap pimpinan akan berusaha lagi untuk membangunkan pemimpin wanita mereka. Bagi pihak COMWEL, saya juga mengucapkan tahniah dan semoga berjaya kepada semua calon wanita dan berharap mereka membawa perubahan positif kepada rakyat sekiranya berjaya pada PRN nanti," katanya.

PRN Johor bakal ditandingi BN, Perikatan Nasional (PN), Pakatan Harapan (PH) bersama rakan strategiknya, Ikatan Demokratik Malaysia (MUDA), Parti Pejuang Tanah Air (PEJUANG), Parti Warisan (WARISAN), Parti Bangsa Malaysia (PBM), Parti Sosialis Malaysia (PSM) dan 16 calon Bebas.

Berita Harian X