Ahad, 27 Februari 2022 | 5:43pm

Hampir 400 pelancong terkandas di Pulau Perhentian

JERTEH: Keadaan cuaca yang buruk yang melanda Terengganu menyebabkan hampir 400 pelancong termasuk 22 kanak-kanak dan dua bayi terkandas di Pulau Perhentian di sini sejak kelmarin.

Pengerusi Persatuan Pengusaha Resort dan Pelancongan Pulau Perhentian, Abdul Aziz Che Abdullah, berkata kesemua pelancong yang terdiri daripada pelancong tempatan dan luar Terengganu sebelum ini menginap di 19 resort, hotel dan inap desa di pulau berkenaan.

Beliau berkata, keadaan laut bergelora dan angin kencang menyebabkan bot yang membawa pelancong ke Jeti Kuala Besut tidak dapat keluar.

"Mereka terkandas sejak Jumaat apabila operasi bot dihentikan bagi mengelak kejadian tidak diingini berlaku.

"Jika diikutkan, keadaan cuaca hari ini semakin baik dan ombak juga sudah berkurangan tetapi kita masih menunggu kebenaran daripada Jabatan Laut Malaysia sama ada mereka ini boleh dibawa keluar atau sebaliknya.

"Sekarang ini, kita masih tunggu kebenaran daripada Jabatan Laut Malaysia dan berharap keadaan cuaca akan semakin baik esok," katanya ketika dihubungi di sini, hari ini.

Keadaan cuaca di Pulau Perhentian. - Foto NSTP/Ihsan pembaca
Keadaan cuaca di Pulau Perhentian. - Foto NSTP/Ihsan pembaca
Berita Harian X