X
Ahad, 27 Februari 2022 | 4:40pm
Bangunan Kementerian Luar Negeri. - Foto NSTP
Bangunan Kementerian Luar Negeri. - Foto NSTP

Wisma Putra nafi pegawai kedutaan di Kyiv melarikan diri

KUALA LUMPUR: Wisma Putra menafikan dakwaan mengatakan pegawai Kedutaan Besar Malaysia di Kyiv melarikan diri dari wilayah itu, seperti dilaporkan beberapa media dan disebarkan di media sosial.

Mereka turut menafikan, kononnya tiada prosedur operasi standard (SOP) pemindahan pegawai kedutaan dan individu warganegara keluar dari Ukraine, dan menyifatkan semua dakwaan itu sebagai tidak berasas.

Dalam satu kenyataan, Wisma Putra menegaskan semua kedutaan besar Malaysia, termasuk di Kyiv, mempunyai Pelan Evakuasi yang sedia diaktifkan sekiranya perlu, dan sentiasa dikemaskini berdasarkan situasi di lapangan dan keperluan semasa.

Jelasnya, kerajaan membincangkan Pelan Evakuasi rakyat Malaysia dari Ukraine dan pelaksanaannya secara terperinci ketika Mesyuarat Jemaah Menteri pada 16 Februari lalu, di mana Menteri Luar Negeri memaklumkan perkembangan di Ukraine, terutamanya status keselamatan dan kebajikan rakyat Malaysia di sana.

"Mengambil kira keadaan yang meruncing di lapangan dan bagi menjamin keselamatan dan kebajikan rakyat Malaysia, Perdana Menteri membuat keputusan pada 24 Februari supaya Pelan Evakuasi warganegara Malaysia di Ukraine diaktifkan serta-merta.

"Pergerakan misi evakuasi warganegara Malaysia dari Ukraine dan maklumat sensitif seperti pelan evakuasi tidak didedahkan kepada umum demi menjaga keselamatan semua yang terbabit dalam misi itu.

"Pendekatan ini penting bagi memastikan pelaksanaan misi berjalan lancar mengikut perancangan yang ditetapkan," katanya.

Sebelum ini, media berpusat di Hong Kong, South China Morning Post melaporkan, diplomat Malaysia melarikan diri dari Kyiv dengan empat kereta selepas bas sewa mereka tidak tiba.

Media itu mendakwa, mereka terpaksa melarikan diri selepas proses pemindahan mereka tidak berjalan lancar kerana Wisma Putra sebelum ini menjangkakan pencerobohan Russia terhadap Ukraine tidak akan berlaku.

Mengulas lanjut dakwaan itu, Wisma Putra memaklumkan pengguna empat kereta, termasuk dua kenderaan kedutaan, sememanganya adalah sebahagian daripasa pelaksanaan dan perancangan misi pemindahan berkenaan.

"Penggunaan kenderaan kecil dan bukannya bas telah mengambil kira bilangan yang terbabit dalam misi ini dan juga bagi memudahkan pergerakan serta menjaga keselamatan sepanjang perjalanan.

"Setakat ini, hanya beberapa kedutaan asing sahaja yang menggantung operasi di Kyiv atau memindahkan operasi mereka ke bandar lain di Ukraine.

"Operasi Kedutaan Besar Malaysia di Kyiv terpaksa digantung sementara kerana dua pegawai kedutaan terbabit secara langsung dalam pelaksanaan misi evakuasi ini," katanya.

Terdahulu, Wisma Putra mengesahkan misi pemindahan kumpulan terakhir rakyat Malaysia di Ukraine, membabitkan dua pegawai kedutaan, tujuh warganegara dan dua warga asing tanggungan, berjaya dilaksanakan semalam.

Selain itu, pegawai Kedutaan Besar di Malaysia di Kyiv turut membantu membawa keluar seorang rakyat Singapura dari Ukraine dalam misi berkenaan.

Katanya, kumpulan itu meninggalkan Kyiv melalui jalan darat pada petang 25 Februari dan memasuki Poland pada malam semalam, dan ketibaan mereka di sempadan Poland dibantu dua pegawai Kedutaan Besar Malaysia di Warsaw.

Kumpulan itu dijadual berlepas dari Warsaw ke Malaysia pada 28 Februari dengan penerbangan komersial.

"Kerajaan Malaysia sebelum ini telah melaksanakan misi evakuasi warga Malaysia dari negara asing, sama ada negara yang berdepan konflik atau bencana alam.

"Misi evakuasi atau repatriasi juga telah dilaksanakan bagi membawa pulang atau memudahcara kepulangan rakyat Malaysia dari 99 negara semasa pandemik COVID-19.

"Misi seumpana ini dilaksanakan oleh perwakilan diplomatik Malaysia dengan penyelarasan dan kerjasama Kementerian Luar serta kementerian dan agensi berkaitan di Malaysia," katanya.

Berita Harian X