Ahad, 27 Februari 2022 | 3:18pm

Berhimpit dalam perahu selamatkan diri ke pusat pemindahan

KUALA KRAI: "Kami tiga beranak bersama enam lagi ahli keluarga yang lain terpaksa berhimpit di dalam perahu untuk menyelamatkan diri selepas laluan ke rumah dinaiki air sedalam 1.5 meter," kata Farahhana Abdul Rahim, 27.

Menurut Farahhana, hujan lebat yang berterusan sejak Jumaat lalu menyebabkan paras air sungai naik mendadak dan kediamannya di Kampung Tok Bok sering kali dinaiki air dan mereka sekeluarga sudah lali tinggal di pusat pemindahan banjir (PPS).

Katanya, pada jam 4 petang Jumaat lalu perkarangan rumahnya dinaiki air sehingga satu meter dan pada jam 8 malam air sudah mula mencecah lantai rumahnya.

"Bimbang keadaan semakin memburuk dengan keadaan hujan yang semakin lebat, saya terus meminta banntuan ibu saudara untuk menghubungi pihak bomba bagi mendapatkan bantuan namun selepas hampir sejam menunggu, kami dimaklumkan bot penyelamat tidak dapat masuk disebabkan keadaan pada ketika itu.

"Pada masa sama, suami saya, Mohd Fazli Mat Napi, 22, turut meminta bantuan daripada rakannya untuk membawa perahu dan membawa kami ke PPS Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Kuala Krai," katanya ketika ditemui di PPS berkenaan, di sini, hari ini.

Farahhana berkata, sebelum itu, suaminya bersama rakannya yang mengemudi perahu terlebih dahulu keluar dan membawa pakaian serta dokumen penting ke PPS.

"Selepas itu, baharulah saya bersama dua anak berusia lapan bulan dan setahun lapan bulan serta enam lagi ahli keluarga lain termasuk mentua dan ipar menaiki perahu yang sama kerana hanya itu satu-satunya yang ada untuk membawa kami keluar.

"Kami tiga beranak berpayung kerana pada ketika itu hujan dan pada masa sama perasaan saya bercampur baur antara takut dan bimbang disebabkan keadaan air yang semakin naik dan ditambah pula ada anak kecil.

"Dalam suasana gelap gelita, hanya penyapu yang digunakan sebagai pendayung dan perlu mendayung sejauh satu kilometer dan kemudiannya berjalan kaki sejauh 500 meter (m) untuk ke PPS," katanya.

Katanya, ini kali pertama terpaksa menaiki perahu untuk ke PPS, namun bersyukur kerana mereka sekeluarga dilindungi sepanjang perjalanan untuk sampai ke tempat yang selamat dan sehingga hari ini sudah tiga hari berada di PPS.

"Saya berharap hujan lebat yang berterusan ini akan reda dan tidak mahu tragedi bah kuning sebagaimana yang berlaku pada tahun 2014 kembali berulang," katanya.

Farahhana Abdul Rahim bersama anak bongsunya, Nur Arisya Syafiqah Mohd Fazli berusia lapan bulan kini berada di pusat pemindahan banjir (PPS) Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Kuala Krai.- Foto NSTP/Hazira Ahmad Zaid
Farahhana Abdul Rahim bersama anak bongsunya, Nur Arisya Syafiqah Mohd Fazli berusia lapan bulan kini berada di pusat pemindahan banjir (PPS) Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Kuala Krai.- Foto NSTP/Hazira Ahmad Zaid
Berita Harian X