Ahad, 27 Februari 2022 | 1:42pm
Angin kencang dan laut bergelora di perairan Pantai Timur Semenanjung, timur Johor, Sarawak, Sabah dan Labuan diramal berterusan sehingga Selasa ini. - Foto NSTP
Angin kencang dan laut bergelora di perairan Pantai Timur Semenanjung, timur Johor, Sarawak, Sabah dan Labuan diramal berterusan sehingga Selasa ini. - Foto NSTP

Amaran hujan berterusan di beberapa negeri hari ini

KUALA LUMPUR: Jabatan Meteorologi Malaysia (MET Malaysia) mengeluarkan Amaran Hujan Berterusan buruk dan waspada untuk beberapa negeri di Semenanjung Malaysia berkuatkuasa sehingga hari ini.

Ketua Pengarahnya, Muhammad Helmi Abdullah, berkata Amaran Hujan Berterusan buruk meliputi Kelantan, Terengganu (Besut, Setiu, Kuala Nerus, Hulu Terengganu Kuala Terengganu dan Marang) serta Perak (Hulu Perak).

Katanya, Amaran Hujan Berterusan waspada pula meliputi Perlis, Kedah, Pulau Pinang, Perak (Kerian, Larut Matang dan Selama, Kuala Kangsar, Kinta dan Kampar) serta Terengganu (Dungun dan Kemaman).

"Luruan monsun yang mempengaruhi corak cuaca di negeri pantai timur dan utara semenanjung, dijangka semakin melemah. Sehubungan itu, Amaran Hujan Berterusan (Bahaya) dikeluarkan pada jam 9 malam, 26 Februari 2022.

"Hujan lebat berterusan dalam tempoh yang panjang boleh mengakibatkan banjir di kawasan berkedudukan rendah," katanya dalam kenyataan, hari ini.

Dalam pada itu, Muhammad Helmi berkata, angin kencang dan laut bergelora di perairan Pantai Timur Semenanjung meliputi Kelantan, Terengganu, Pahang, timur Johor, Sarawak, Sabah dan Labuan diramal berterusan sehingga Selasa ini.

Berita Harian X