Ahad, 27 Februari 2022 | 8:20am
Foto ihsan Facebook Datuk Seri Saifuddin Abdullah

9 rakyat Malaysia, 2 tanggungan selamat tiba di sempadan Ukraine-Poland

KUALA LUMPUR: Konvoi memindahkan sembilan rakyat Malaysia bersama dua tanggungan mereka dan seorang warga Singapura yang dibawa keluar dari Kyiv, selamat tiba di Korczowa-Krakovets, sempadan Ukraine dengan Poland.

Menteri Luar, Datuk Seri Saifuddin Abdullah, berkata konvoi terbabit yang diketuai Kuasa Usaha Sementara, Kedutaan Besar Malaysia di Ukraine, Fadhilah Daud, tiba di lokasi berkenaan pada jam 5.45 pagi tadi waktu Malaysia (10.45 malam 26 Februari waktu tempatan).

"Konvoi berkenaan disambut dua pegawai dari Kedutaan Besar Malaysia di Poland.

Foto ihsan Facebook Datuk Seri Saifuddin Abdullah
Foto ihsan Facebook Datuk Seri Saifuddin Abdullah

"Mereka termasuk pegawai pengiring, sedang menuju ke Warsaw ketika ini dan dijangka pulang ke Kuala Lumpur dalam masa terdekat," katanya dalam kenyataan melalui Facebook, hari ini.

Beliau berkata, Wisma Putra sentiasa berhubung rapat dengan pegawai kedutaan bagi memastikan keselamatan serta keberadaan semua rakyat Malaysia yang dibawa keluar dan konvoi yang turut serta.

Media semalam melaporkan Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berkata, 11 rakyat Malaysia yang berada di Ukraine, sudah meninggalkan Kyiv dan dalam perjalanan untuk keluar dari negara itu susulan konflik yang melanda.

Perdana Menteri dipetik memaklumkan, ada 23 rakyat Malaysia di Ukraine, termasuk 12 sudah meninggalkan Ukraine, manakala bakinya sedang dalam perjalanan untuk keluar dari negara itu.

Ukraine semalam mengumumkan penutupan ruang udaranya untuk kegunaan awam, disebabkan 'risiko tinggi' terhadap penerbangan awam.

Justeru, pelan pemindahan untuk rakyat Malaysia adalah menerusi jalan darat ke Poland, yang mungkin akan mengambil masa 10 jam membabitkan perjalanan sejauh 782 kilometer.

Berita Harian X