Sabtu, 26 Februari 2022 | 7:40pm
Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob, turut menggunakan Bahasa Melayu ketika sidang media bersama Perdana Menteri Thailand, Prayuth Chan o-cha (kanan) pada Majlis Sambutan Rasmi Lawatan Perdana Menteri di Government House hari ini.Ismail Sabri melakukan lawatan rasmi ke Bangkok bermula 24 hingga 26 Februari 2022.
Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob, turut menggunakan Bahasa Melayu ketika sidang media bersama Perdana Menteri Thailand, Prayuth Chan o-cha (kanan) pada Majlis Sambutan Rasmi Lawatan Perdana Menteri di Government House hari ini.Ismail Sabri melakukan lawatan rasmi ke Bangkok bermula 24 hingga 26 Februari 2022.

'Martabatkan Bahasa Melayu dalam setiap urusan rasmi negara' - Ismail Sabri

BANGKOK: Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berkata, Malaysia akan menggunakan Bahasa Melayu dalam setiap urusan rasmi negara, termasuk mesyuarat dan persidangan antarabangsa sebagai usaha memartabatkan Bahasa Kebangsaan.

Perdana Menteri berkata, beliau telah menggunakan Bahasa Melayu ketika mesyuarat dua hala dan sidang media bersama, ketika melakukan lawatan rasmi ke Brunei serta Kemboja sebelum ini dan yang terbaharu, Thailand.

"Sebelum ini, saya telah menyatakan bahawa dalam setiap urusan rasmi kerajaan, kita perlu menggunakan Bahasa Melayu. Rundingan saya di luar negara juga merupakan urusan rasmi kerajaan. Oleh sebab itu, saya menggunakan Bahasa Melayu.

"Sudah sampai masanya kita perlu bangga dengan Bahasa Melayu yang merupakan Bahasa Kebangsaan… kita bertanggungjawab memperkasa Bahasa Melayu.

"Jadi, kita tidak ada sebab untuk rasa janggal dan berbahasa Melayu ketika di luar negara kerana orang lain boleh bangga dengan bahasa masing-masing," katanya pada sidang media bersama wartawan Malaysia di sini hari ini pada akhir lawatan rasmi tiga hari beliau ke Thailand.

Ketika mengadakan pertemuan dan mesyuarat terhad serta sidang media bersama Perdana Menteri Thailand Prayuth Chan o-cha semalam, Ismail Sabri telah menggunakan Bahasa Melayu.

Beliau berkata, penduduk ASEAN paling banyak menggunakan Bahasa Melayu dan tidak menolak kemungkinan suatu hari nanti, ia boleh dijadikan sebagai Bahasa ASEAN.

"Perkara ini mungkin boleh dibincang dengan pemimpin ASEAN pada masa depan," katanya.

Ismail Sabri berkata, di ASEAN, enam negara menggunakan bahasa sendiri dalam urusan rasmi masing-masing dan perlu diterjemah manakala empat lagi menggunakan Bahasa Inggeris.

"Jika negara itu menggunakan bahasa mereka, kita akan menggunakan Bahasa Melayu. Sekiranya negara itu menggunakan Bahasa Inggeris, kita menggunakan Bahasa Inggeris atau bahasa kita sendiri (Bahasa Melayu)," katanya. – BERNAMA

Berita Harian X