Sabtu, 26 Februari 2022 | 7:28pm

Kemiskinan haid: Perak cadang sediakan mesin layan diri sanitari

IPOH: Perak bercadang menempatkan mesin layan diri sanitari di kawasan strategik, sebagai antara langkah menangani isu kemiskinan haid dalam kalangan remaja dan wanita dari golongan keluarga B40 negeri ini.

Pengerusi Jawatankuasa Pembangunan Wanita, Keluarga dan Kebajikan Masyarakat, Datuk Dr Wan Norashikin Wan Noordin, berkata mesin layan diri itu turut dicadang untuk ditempatkan di lokasi awam seperti kawasan rekreasi dan sekolah.

"Kita perlu berbincang mengenai perkara ini dengan Jabatan Pendidikan negeri untuk meletakkannya di sekolah dan juga pihak berkuasa tempatan sebelum boleh meletakkannya di kawasan rekreasi.

"Kita dapat lihat beberapa pusat beli-belah meletakkan mesin layan diri tuala wanita di dalam tandas. Mesin ini penting terutama semasa kecemasan," katanya selepas melancarkan Majlis Pemberian Kit Asas Sanitasi Wanita Negeri Perak (PROKiS) di sini hari ini.

Terdahulu, seramai 200 remaja perempuan dan wanita yang menghadapi kesukaran untuk mendapatkan kelengkapan haid seperti tuala wanita akibat kemiskinan atau beban kewangan menerima bantuan kemiskinan haid di bawah program PROKiS.

Wan Norashikin berkata, kemiskinan haid turut dikenal pasti menjadi antara punca pelajar ponteng sekolah di Perak terutama di kalangan remaja di kawasan luar bandar.

Sementara itu, seorang penerima bantuan PROKiS, Norfaradila Ibrahim, 39, berkata bantuan sebegini dapat memberi pendedahan kepada setiap orang.

"Program ini mampu memberi kesedaran dalam membantu masyarakat yang kurang berkemampuan. Zaman sekarang remaja tidak endah perkara melibatkan haid," katanya.

Selain itu, Nur Emily Anatasya Husna Mohd Fariszuan, 17, berkata perbelanjaaan sanitasi untuk dia dan ibunya agak membebankan.

"Setiap bulan perbelanjaan sanitasi untuk saya dan ibu lebih kurang RM30 sebulan. Ini agak membebankan. Jadi, bila ada bantuan sebegini, dapat bantu mengurangkan beban kami sekeluarga," katanya. – BERNAMA

Pengerusi Jawatankuasa Pembangunan Wanita Keluarga Kebajikan Masyarakat dan NGO Negeri Perak, Datuk Dr Wan Norashikin Wan Noordin (kanan) beramah mersa dengan penerima Kit Prokis pada Pelancaran Program Kemiskinan Haid dan Pemberian Kit asas Sanitasi Wanita Negeri Perak (PROKIS) 2022 di Dewan Greentown, Ipoh.
Pengerusi Jawatankuasa Pembangunan Wanita Keluarga Kebajikan Masyarakat dan NGO Negeri Perak, Datuk Dr Wan Norashikin Wan Noordin (kanan) beramah mersa dengan penerima Kit Prokis pada Pelancaran Program Kemiskinan Haid dan Pemberian Kit asas Sanitasi Wanita Negeri Perak (PROKIS) 2022 di Dewan Greentown, Ipoh.
Berita Harian X