Sabtu, 26 Februari 2022 | 12:41pm

11 rakyat Malaysia sudah meninggalkan Kyiv

KUALA LUMPUR: Sebelas rakyat Malaysia yang berada di Ukraine, sudah meninggalkan Kyiv serta dalam perjalanan untuk keluar dari negara itu susulan konflik yang melanda.

Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob, berkata beliau bagaimanapun tidak boleh mendedahkan lokasi semua individu terbabit atas faktor keselamatan.

"Kita ada 23 rakyat di Ukraine, sama ada bekerja di kedutaan, belajar dan sebagainya. Seramai 12 daripada mereka sudah meninggalkan Ukraine, dan bakinya sedang dalam perjalanan (untuk keluar dari negara itu).

"Saya tidak mahu sebut dari mana ke mana kerana kita tidak tahu apa berlaku di sana.

"Justeru, saya tidak mahu sebut dari mana ke mana demi keselamatan mereka," katanya pada sidang media di Bangkok, Thailand, hari ini, yang disiarkan secara langsung oleh RTM dan melalui Facebook.

Mengulas lanjut, Ismail Sabri berkata, status pergerakan warga Malaysia terbabit akan diketahui selewat-lewatnya petang ini.

Beliau menjelaskan, Kementerian Luar sentiasa berhubung dengan kumpulan berkenaan untuk mengetahui perkembangan mereka.

"Mereka dalam perjalanan untuk keluar dari Ukraine, bukan dari Kyiv kerana mereka sudahpun keluar dari Kyiv.

"Mereka dalam perjalanan keluar dari Ukraine ketika ini. Apabila (mereka) sudah keluar, kita akan maklumkan kepada media," katanya.

Ismail Sabri di Bangkok, Thailand. - FOTO EPA
Ismail Sabri di Bangkok, Thailand. - FOTO EPA
Berita Harian X